Saturday, 22 June 2019

Jangan cabuli tanah wakaf umat Islam di Masjid Sungai Nibong - UMMAH



Umat Islam Pulau Pinang sekali lagi menjadi mangsa kerakusan pihak pemerintah negeri yang bersekongkol dengan korporat-korporat besar untuk mengaut keuntungan besar dengan menggadaikan tanah dan budaya kehidupan umat Islam pulau Pinang. Peristiwa permainan licik pihak pemerintah membuli umat Islam di kawasan Masjid Khariah Sungai Nibong Besar sepatutnya ditentang habis-habisan agar maruah dan nilai umat Islam terbela.

Keangkuhan pihak kerajaan Negeri dalam menjayakan projek mega Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) Pulau Pinang yang merupakan projek terbesar di Malaysia pasti akan mengubah landscape socio ekonomi umat Islam.



Permainan mereka licik, bertopengkan kemajuan. Seolah isu pengangkutan Pulau Pinang terlalu komplex dan tidak ada kaedah lain untuk mengatasinya melainkan dengan mega projek ini.

Kerajaan negeri telah melantik SRS Consortium sebagai rakan kongsi Project Delivery Partner (PDP) bagi menjadikan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang suatu kenyataan. Pelan induk itu termasuklah cadangan lebuh raya, sistem rel transit aliran ringan (LRT) dan berbagai pilihan pengangkutan awam lainnya.

UMMAH Pulau Pinang menyeru agar dilihat semula pelan induk ini dan di kaji dengan teliti agar kemajuan yang di cita tidak menggadai sosial budaya dan kegiatan ekonomi masyarakat. Jangan hanya menguntungkan golongan korporat tetapi golongan bawahan melarat dan dibeli dengan nilai pampasan yang tidak setimpal.

PTMP seolah lesen besar dan boleh memaksa semua pihak mengikut arahan pelan mereka. Kes pembulian syarikat besar yang berorientasikan keuntungan mega telah mencabuli tanah wakaf umat Islam di Masjid Sungai nibong. Umat Islam telah di catur dari awal agar akur dengan kehendak syarikat pemaju.

Masjid Sungai Nibong Besar adalah masjid lama yang didirikan sekitar tahun 1880an dan diantara masjid yg tertua di Pulau Pinang. Kemelut melanda setelah proses merobohkan Masjid dibuat pada bulan ramadhan yang lalu. AJK tertinggi dipanggil ke mesyuarat Kerajaan Negeri untuk hentikan sementara waktu proses pembinaan semula masjid bagi memberi laluan kepada pembinaan jajaran LRT.

Setelah perbincangan di buat, pihak Masjid memberikan beberapa cadangan agar tanah wakaf dan institusi masjid tidak di korbankan demi kelangsungan projek mega LRT ini.

Pihak Masjid Sungai Nibong mendapat jawapan mengecewakan apabila kerajaan negeri dan SRS ( Pemaju projek) bertegas mahu menggunakan tapak masjid juga walaupun janji awal sangat berbeza seperti apa yg diwar-warkan oleh SRS bahawa TIDAK AKAN menggunakan tanah wakaf walau seinci.

Keputusan ini akan mengundang pelbagai komplikasi:

Menyebabkan tapak masjid baru akan beranjak daripada tanah wakaf khusus.
Pembinaan semula masjid tertangguh.
Terpaksa menunggu keputusan majlis Fatwa yang baru.
Menyebabkan laluan LRT akan melintasi kawasan di atas kubur.
Masjid Sungai Nibong terpaksa menunggu kelulusan untuk mendapatkan kebenaran menggunakan tanah hak milik baru milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
UMMAH Pulau Pinang menyeru agar kemajuan system pengangkutan di lihat semula secara menyeluruh dan komprehesif dengan tidak mengabaikan sosial budaya dan sosio ekonomi Umat islam Pulau Pinang.

Apa guna kemajuan jika bumi di pijak bukan lagi milik kita. Kami menyeru agar umat Islam Pulau Pinang bertegas dan bertindak matang berteras lunas undang-undang menuntut hak umat Islam.

Dr Zaki Ibrahim
Timbalan Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pulau Pinang

No comments:

Post a comment