Thursday, 27 June 2019

Kos pengajian tinggi dijangka naik

Ibu bapa haruslah mempunyai tabungan pendidikan buat anak-anak sejak dari awal lagi memandangkan kos yuran pengajian tinggi melambung mahal pada masa hadapan.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Jaringan Industri & Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, dengan mengambil contoh pengiraan berdasarkan program pengajian dalam bidang sastera iaitu sains sosial termasuk ekonomi, berlaku peningkatan sangat besar di universiti awam dan juga institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam tempoh 10 tahun akan datang.



Menurutnya, kos keseluruhan yuran pengajian di universiti awam bagi tempoh empat tahun pengajian dalam masa 10 tahun akan datang dengan kadar inflasi sebanyak empat peratus dan andaian keluarga akan membiayai sebanyak 10 peratus kos pengajian menggunakan simpanan sendiri meningkat daripada RM18,000 kepada RM28,286.

“Kos yuran pengajian untuk setahun pengajian (dua semester) di universiti awam pula dijangka meningkat dari RM4,500 kepada RM6,661,” katanya kepada Sinar Harian.

Fazli yang juga Pakar Kewangan Pengguna berkata, bagi kos pengajian di IPTS pula, kos keseluruhan yuran untuk tempoh tiga tahun pengajian dalam masa 10 tahun akan datang dengan kadar inflasi sama, dijangka meningkat daripada RM44,000 kepada RM55,449.

Menurutnya, kos yuran pengajian untuk setahun pengajian (dua semester) di IPTS dijangka meningkat dari RM12,000 kepada RM17,763.

“Yuran pengajian di universiti awam dan IPTS juga akan berbeza dari segi jumlah mengikut program pengajian sama ada sastera, sains gunaan, sains tulen, teknikal dan perubatan.

“Berdasarkan analisis mudah sebelum ini menunjukkan kos pendidikan tinggi dijangka meningkat dan ini sudah pastinya memberikan bebanan kepada keluarga terutama mereka yang tidak membuat perancangan awal dan sistematik,” kata beliau.

Fazli menegaskan yuran pengajian tinggi di universiti awam sekitar RM4,500-RM5,000 setahun tidak mengambil kira subsidi kerajaan kepada pelajar dan jumlah keseluruhan bagi tempoh empat tahun pengajian antara RM18,000 sehingga RM20,000.

“Relatifnya yuran pengajian tinggi di IPTS jauh lebih tinggi iaitu antara RM12,000 dan RM18,000 setahun dan jumlah keseluruhan dibiayai untuk tempoh tiga tahun pengajian adalah RM44,000 sehingga RM72,000,” kata Fazli.

Malah menurutnya, terdapat IPTS yang menawarkan program misalnya farmasi untuk tempoh empat tahun pengajian dengan mencecah RM130,000.

“Ini kerana kos untuk mendapatkan pendidikan tinggi melibatkan beberapa jenis yuran dan bayaran.

“Yuran dan bayaran terlibat adalah yuran tidak berulang (dibayar sekali sahaja bagi pelajar baharu), yuran berulang setiap semester, yuran pelajaran mengikut bidang dan bayaran asrama.

“Yuran tidak berulang biasanya dikenakan untuk pelajar baharu mendaftar di mana bayaran meliputi yuran daftar, tabung kebajikan pelajar, bayaran pelbagai, yuran komputer, yuran kenderaan, yuran alumnai, yuran suai kenal dan yuran pemeriksaan perubatan.

“Seterusnya, pelajar perlu melunaskan yuran berulang setiap semester meliputi bayaran insurans, pengangkutan, makmal, kesihatan, kad makanan, perpustakaan, kokurikulum dan kolegiat,” jelasnya.

Beliau berkata, masyarakat kini juga masih tidak sedar dalam yuran pengajian tinggi, kerajaan telah menanggung sejumlah kos yang besar dengan memberikan subsidi terutama untuk yuran pengajian di universiti awam.

“Sebagai contoh bagi program doktor perubatan, purata kos seorang pelajar setahun ialah RM61,620. Yuran pengajian setahun termasuk yuran kolej kediaman ialah RM4,789. Subsidi yang dibayar kerajaan ialah RM56,831.

“Bagi mengatasi perbezaan ketara dengan kos pengajian IPTS, disarankan pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan berbincang dengan pihak pengurusan universiti awam dan IPTS bagi mencari kaedah terbaik agar peningkatan yuran pengajian tidak membebankan pelajar dan keluarga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a comment