Sunday, 23 June 2019

Kursus perdana haji dijadikan medan penyebaran propaganda politik & tohmah - Dr Asyraf Wajdi



Pagi ini seorang bakal jemaah haji yang sedang menghadiri Kursus Haji Perdana mengadu amat tidak selesa dengan pengedaran bahan-bahan propaganda Kerajaan Pakatan Harapan bersabit dengan Tabung Haji. Pelbagai tuduhan liar dan berupa tohmah terhadap kerajaan lalu dan pengurusan Tabung Haji yang lepas dijadikan salah satu bahan modul dalam Kursus Haji Perdana. Ini tidak pernah berlaku di zaman Kerajaan BN memerintah.




Wahai Kekandaku YB Dr Mujahid Yusof Rawa Kursus Haji Perdana tidak harus dijadikan medan untuk propaganda politik . Seharusnya medan kursus haji perdana sebagaimana amalan sejak Tabung Haji ditubuhkan dan sepanjang di bawah pemerintahan Kerajaan BN terdahulu hanya difokuskan kepada aspek ibadah haji semata-mata dan tidak dicampur-adukkan dengan unsur-unsur perpolitikan yang akan menghilangkan roh ibadah Haji yang bersifat ta’abudiyyah (perhambaan semutlaknya kepada Allah). Setidak-tidaknya kursus yang melibatkan jemaah daripada pelbagai latar dan ideologi dijadikan wahana  penyatuan ummah dan bukannya medan politik partisan yang memecah-belahkan.

Sekali lagi Pergerakan Pemuda UMNO ingin mengulangi tuntutan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai hal ehwal pengurusan kewangan dan pelaburan Tabung Haji sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan agar kedudukan sebenar isu Tabung Haji dapat dirungkaikan dan dijernihkan kepada rakyat.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

23 Jun 2019










No comments:

Post a comment