Thursday, 13 June 2019

Lapan maut akibat demam denggi di Pulau Pinang


GEORGETOWN - Lapan orang maut akibat demam denggi di Pulau Pinang sepanjang tempoh 22 minggu tahun ini berbanding dua kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut kenyataan Bahagian Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, jumlah kematian dalam tempoh itu meningkat enam kes atau 300 peratus, namun jumlah kes demam denggi yang dilaporkan menurun.

Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 1.52 peratus atau satu kes bagi tempoh tujuh hari minggu lepas, berbanding minggu sebelumnya.


Sebanyak 65 kes denggi dilaporkan dari 2 hingga 8 Jun, berbanding 66 kes dari 26 Mei hingga 1 Jun.

Menurut kenyataan itu lagi walaupun terdapat penurunan kes, secara kumulatif sehingga 8 Jun lepas, sebanyak 2,808 kes dilaporkan berbanding 1,847 kes bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 961 kes atau 52.03 peratus.

Menurut kenyataan itu, terdapat satu lokaliti ‘hotspot’ iaitu di Inderawasih Persiaran 2 di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) manakala dua lokaliti wabak tidak terkawal di Jalan SP Chelliah di daerah Timur Laut dan Taman Pauh Indah di SPT.

Terdapat 10 lokaliti wabak terkawal yang terdiri daripada tiga dalam daerah Timur Laut, SPT (6) dan Seberang Perai Selatan (1).

Orang ramai dinasihatkan menjalankan gotong-royong menghapuskan tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes.

Kredit  - Bernama / Sinar Harian

No comments:

Post a Comment