Tuesday, 11 June 2019

Menyamar anggota polis lakukan jenayah peras ugut, samun..

NOORZAINY Mohd. Noor (dua dari kiri) menunjukkan baju polis yang digunakan dua lelaki untuk menyamar bagi tujuan memeras ugut serta merompak dalam sidang akhbar di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN ONLINE/SAZALI CHE DIN

Mohd. Khuzairi Ismail
11 Jun 2019 3:52 PM

BUTTERWORTH - Tindakan berani dua lelaki menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan jenayah peras ugut dan samun akhirnya membawa padah selepas mereka ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Bagan Ajam, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z tanpa nombor plat.


Penahanan mereka kemudiannya membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek berusia 21 tahun yang dipercayai ahli kumpulan itu dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Indera Muda, Kubang Semang, di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung tiga kes samun di kawasan RnR tersebut semalam.

Menurutnya, kejadian berkenaan dilaporkan bermula pukul 4 pagi sehingga pukul 12 tengah hari yang turut melibatkan mangsa seorang pengedar surat khabar.

"Pasukan Task Force kita berjaya menahan suspek dalam tempoh 24 jam selepas menerima tiga laporan kejadian yang berlaku pada hari sama.

"Suspek cuba melarikan diri ketika ditahan, namun berjaya ditahan dengan seorang daripada mereka ditangkap berdekatan sebuah stesen minyak di kawasan itu manakala seorang lagi ditangkap selepas terjun ke dalam laut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas, di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kesemua suspek mengaku terlibat dalam tujuh kes peras ugut dan samun yang dilaporkan di sekitar kawasan SPU.

Tambah beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas pelbagai barangan daripada suspek termasuk lampu suluh yang mempunyai renjatan elektrik, set walkie-talkie dan jaket polis.

Turut dirampas, katanya, adalah palam pencucuh yang diubah suai, sepasang sarung tangan dan plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu.

"Dua daripada suspek juga mempunyai rekod lampau dan mereka direman esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment