Tuesday, 11 June 2019

Mulai 1 Julai 2019, tiada lagi beg plastik setiap Isnin di Pulau Pinang

Semua peniaga di Pulau Pinang diminta tidak memberi beg plastik kepada pembeli pada setiap Isnin mulai 1 Julai depan sebagai inisiatif baharu bagi mengawal penggunaan plastik.

EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh, berkata inisiatif itu bagaimanapun bukan berbentuk dasar atau syarat khas ke atas semua peniaga di Pulau Pinang.

Katanya, ia adalah tindakan lanjutan selepas dasar larangan penggunaan beg plastik diperkenal kerajaan negeri sejak Julai 2009, selain pengguna dikenakan caj 20 sen jika mahu menggunakan barangan itu.


“Inisiatif ini berbentuk rayuan kepada orang ramai untuk mengurangkan penggunaan beg plastik, selain sebagai tanda cinta kepada alam sekitar.

“Kerajaan negeri merayu peniaga supaya tak memberi beg plastik kepada pengguna setiap Isnin, dengan poster untuk mengumumkan inisiatif ini akan dinaikkan di seluruh negeri, seminggu sebelum 1 Julai depan.

“Bagaimanapun, ia tidak menjadi kesalahan jika mana-mana peniaga enggan turut serta dalam pelaksanaan inisiatif ini, cuma ia akan menggambarkan mereka tak mencintai alam sekitar,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri bercadang untuk menaikkan caj beg plastik daripada 20 sen kepada 50 sen sebagai usaha mengurangkan penggunaan barangan itu.

Cadangan itu pernah dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, pada 15 November tahun lalu.

Program ‘tiada beg plastik percuma’ diperkenalkan kerajaan negeri pada 2009, sekali gus menyaksikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama mengarahkan peniaga tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma.

Boon Poh berkata, pihaknya akan mengadakan sesi perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pengguna di negeri itu bagi mengenal pasti maklum balas dan perkara berbangkit berkaitan inisiatif berkenaan.

“Setakat ini kita sudah berbincang bersama beberapa NGO dan persatuan dalam majlis tertentu dan maklum balas diberikan mereka adalah positif, selain sedia mempromosi dan menyertai pelaksanaan inisiatif ini,” katanya- BH

No comments:

Post a Comment