Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.


“Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya gutter politics. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada awal pagi ini, individu mendakwa terlibat sama dalam video terbabit dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi tersebut.
Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.
Mohamed Azmin memberitahu, beliau telah mengarahkan para peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.
Menurutnya, beliau akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat terbabit.
“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE