Friday, 21 June 2019

PAS tolak budaya perkauman dan fanatik agama - TG Haji Hadi Awang

PAS menentang sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang cuba memainkan isu perkauman, selain menolak gerakan yang terlalu taksub kepada agama, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, pihaknya akan mempertahankan kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia mengikut acuan Islam, bukannya dengan tujuan meraih kepentingan politik.

“Kita tetap mempertahankan kewujudan masyarakat majmuk ini kerana petunjuk Islam, bukannya bermain politik.

“Kita buktikan adanya sayap bukan Islam dalam PAS dan adanya pada Umno yang bersifat Melayu Islam tidak berpisah dan Bumiputera tegar, namun tetap menjalin rantaian yang tidak putus dengan semua kaum yang lain.




“Kita menentang sesiapa sahaja yang mahu membakar api perkauman dan fanatik agama yang merosakkan masyarakat majmuk ini, dan tidak berganjak dalam mempertahankan Islam memimpin dengan semangat tema yang diteruskan,” katanya dalam ucapan dasar presiden yang bertajuk “Islam Memimpin Perpaduan” sempena Muktamar PAS kali ke-65 di sini, hari ini.

Katanya, kedudukan semua kaum akan terjejas jika pendekatan Islam tidak dilaksanakan.

“Kaum lain yang beragama bukan Islam sepatutnya tidak berasa khuatir dengan adanya jaminan keadilan dan hak mengikut Al-Quran dan perlembagaan negara yang sentiasa diislahkan.

“Sebaliknya kalau aspek ini diganggu boleh mengancam kedudukan semuanya,”katanya.

Hadi berkata, kejayaan pendekatan Islam yang dibawa PAS dalam memberi keadilan untuk semua diterjemah melalui pentadbiran parti itu di Kelantan dan Terengganu.

“Kelantan dan Terengganu sudah berjaya membuktikan bahawa keadilan kepada semua kaum dan bangsa bukanlah ucapan kosong yang sudah dibuktikan melalui hak kebajikan dan beragama yang dijaga oleh kerajaan di bawah kepimpinan PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan.

“PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menerima konsep politik Islam yang adil dan rahmat untuk semua adalah jambatan PAS kepada penganut bukan Islam hendaklah diperkasakan dengan penglibatan pelbagai kaum dan bangsa untuk mengubah persepsi negatif dan fobia terhadap Islam,” katanya.

Hadi menyuarakan kebimbangan berhubung perkembangan semasa ketika ini apabila ada pihak yang berani dan bertindak secara melulu mencabar kedudukan Islam, Raja dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Katanya, institusi itu sepatutnya dipeliharan dan dijaga semua kaum, bukannya bertindak mencabarnya, termasuklah oelh kalangan orang Islam sendiri.

“Rakyat pelbagai kaum dan agama hendaklah menolak kalangan (kumpulan) ini dalam pilihan raya umum akan datang demi kebaikan semua pihak dan mengatur hari muka yang bahagia dan tiada kecelakaannya. Kewujudan pelbagai bangsa dan bahasa adalah fitrah yang tidak boleh dipisahkan,” katanya.

PAS terbuka jalin kerjasama dengan bukan Islam


Hadi berkata, PAS terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan parti atau pertubuhan bukan Islam.

“Terbarunya dengan MIC yang menunjukkan hasil sangat positif apabila memahami titik persamaan yang boleh bekerjasama dan memahami perbezaan yang boleh dibincangkan secara terbuka tanpa perkelahian, apabila masing-masing menjaga adab dan sempadannya.

“Berpandukan ijtihad politik semasa dalam hal ini, PAS konsisten untuk memilih pendekatan damai dalam berpolitik (muwajahah silmiyyah) dan terbuka untuk berdialog dan menjalin hubungan politik dengan semua pihak atas prinsip kerjasama.

Katanya, PAS juga akan menguasai media sosial dalam memberi penerangan tentang perjuangan yang dibawa parti itu, khususnya kepada bukan Islam.

“Kita akan memberi kefahaman dan penjelasan kepada mereka tentang Islam dan perjuangan PAS berkonsepkan hikmah, tiada paksaan dalam agama dan adil untuk semua.

“Percayalah bahawa hanya Islam yang sempurna, adil dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan selamat. Inilah ‘Piagam Jaminan Perlindungan Bukan Islam’ yang akan terus dipegang oleh PAS, antaranya mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam perkara agama. Islam mewajibkan pemerintah untuk bersikap adil kepada semua.

“Islam mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa yang diizinkan oleh agama mereka, walaupun diharamkan oleh Islam dengan sempadan menjaga sensitiviti umat Islam,” katanya.

PAS juga mengakui kelemahan menguasai media sosial sebelum pilihanraya lalu menyebabkan rakyat keliru dan gagal mendapatkan maklumat tepat tentang parti itu.

“Maklumat perlu disampaikan kepada kumpulan sasaran yang tepat dalam kadar yang cepat,”katanya.

Perjuang hak Sabah dan Sarawak

PAS katanya, beriltizam untuk meningkatkan taraf hidup peribumi Sabah dan Sarawak serta menyeru semua pihak supaya memperkukuh komitmen pada Perjanjian Malaysia 1963 dengan memperbaiki segala kelemahan sepanjang pelaksanaannya ke arah menguatkan persekutuan Malaysia dan merapatkan jurang perbezaan yang wujud selama ini.

“Kita perlu menolak sebarang usaha untuk memisahkan penyatuan ini dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Selatan Sudan dan Timor-Timur yang lebih malang nasibnya selepas berpisah,” katanya.

Muktamar PAS ke 65 yang bermula hari ini dan dijadualkan berakhir pada Ahad dihadiri lebih 1,000 perwakilan parti itu dari seluruh negara. Muktamar sayap Muslimat, Pemuda dan Ulama PAS diadakan lebih awal sebelum ini.

No comments:

Post a comment