Friday, 21 June 2019

Pemuda PAS sasar strategi 1 lawan 1

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin tekad menyasarkan saingan PRU15 nanti berlaku secara 'satu lawan satu' iaitu satu komponen melawan satu komponen PH.

Menurut beliau, antara langkah bakal diambil bagi mencapai sasaran tersebut ialah memperkasakan program-program penerangan hingga ke akar umbi selain memperkasakan hubungan dalaman parti, intra-parti, dan antarabangsa.

"Insya-Allah kami akan lebih menonjol, kami akan capai lebih banyak anak muda, dan kita tidak akan meninggalkan rakan-rakan bukan Islam, macam mana kita akan perkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang berada di dalam DPPM, dan juga akan memperkasakan lagi perpaduan nasional.


"Tidak menafikan antara kekangan bakal dihadapi adalah memujuk golongan-golongan veteran PAS yang melalui kisah duka bersama Umno, dengan pujukan sebagaimana seorang anak memujuk ayahnya. Insya-Allah kita akan jumpa seperti anak dengan ayah, ayah kita ni macam mana kasar pun dia, dia ada titik lemah, yang penting adab.

"Orang tua, orang lama ini, dia ada alasan, rasa syak dengan sebab dia datang dengan pengalaman. Apa yang kita boleh buat sebagai anak muda ialah, jangan ikut sangat darah anak muda," ujarnya.

Mengulas lanjut, antara cabaran lain untuk menuju sasaran 'satu lawan satu' ialah kerjasama antara PAS dan MCA, namun ia tidak menjadi kebimbangan beliau memandangkan Pemuda PAS sudah mula mengadakan program bersama Pemuda MCA.

"MIC dengan Umno, kita memang rapat. Hatta wakil dia orang pun hadir dalam majlis majlis perasmian, saya tidak nampak kesusahan di peringkat itu, cuma sedikit cabaran ialah pada MCA.

"Kami optimis dengan dua ataupun tiga pertemuan ini, Insya-Allah kita boleh mulakan langkah yang formal untuk bekerjasama dengan MCA," ujarnya ketika ditemui media selepas Muktamar Tahunan Pemuda PAS di Bukit Gambang Resort City, petang tadi.

No comments:

Post a comment