Saturday, 29 June 2019

#PulauPinang Cukai Petak ganti Cukai Tanah


CHOW Kon Yeow menunjukkan borang cukai petak bagi hakmilik strata dalam sidang media di pejabatnya, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). - Foto Danial Saad


Bermula Januari lalu, kerajaan negeri melaksanakan sistem Cukai Petak menggantikan Cukai Tanah di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pengedaran bil cukai itu akan dilakukan secara berperingkat pada Julai ini.

Katanya, cukai itu juga akan dikenakan ke atas hak milik strata seperti di Selangor dan Melaka, serta bakal diguna pakai di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

“Sistem Cukai Petak ini akan memberi banyak manfaat terutamanya bagi bangunan atau kawasan berstrata kerana ia akan memberi sedikit kebebasan kepada pemilik bagi pengurusan pembayaran yang mana sebelum ini bergantung kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB).


“Bil Cukai Petak bagi tahun 2019 akan diedarkan secara berperingkat mulai Julai, dan sebanyak 224,303 bilangan petak membabitkan 1,796 skim perumahan berstrata dijangka menerima bil,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengecualikan denda cukai petak yang sepatutnya dilakukan selepas 31 Mei, sehingga 31 Disember hadapan.

Katanya, jumlah cukai petak juga dijangka berubah mengikut pengiraan baharu, bergantung kepada keluasan lantai petak kediaman terbabit.

“Diakui, memang ada perubahan terhadap jumlah cukai namun ia bergantung kepada pengiraan,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow menegaskan bahawa pemilik tanah ‘first grade’ perlu mematuhi undang-undang yang diwartakan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri mendapati keistimewaan yang terdapat pada hak milik tanah ‘first grade’ ini sering disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

“Kalau ada mineral, batu-bata dan lain-lain (yang didapati di tanah itu), dia (pemilik tanah) berhak untuk ambil tanpa memohon Statistik Permohonan Pengeluaran Bahan Batuan (Permit 4C).

“Tetapi mereka tetap perlu menghantar permohonan pelan merancang, kerja tanah, kuari, atau apa jua tujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian tanah runtuh di sebuah resort di Tanjung Bungah pada Selasa lalu, yang mengorbankan empat buruh binaan warga Myanmar.

Tapak resort yang dimiliki secara persendirian itu didakwa menjalankan kerja untuk membina tembok penahan tanah, tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kredit Berita Harian

No comments:

Post a comment