Monday, 10 June 2019

Redah asap selamatkan adik..



Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

KANAK-kanak lelaki berusia 11 tahun meredah asap tebal untuk menyelamatkan adik perempuannya berusia tiga tahun yang sedang tidur ketika rumah mereka di Kampung Padang, Kulim, terbakar malam tadi.

Muhammad Amin Zaidi terjaga dari tidur sebaik terasa bahang panas sebelum menjerit ketika menyelamatkan adiknya dari rumah dua tingkat itu.

Jeritannya itu mengejutkan abangnya, Muhammad Safuan Zaidi, 16, dan kakak ipar, Nor Afiqah Noordin, 21, yang tidur di bilik bersebelahan bersama bayi perempuannya berusia dua bulan.


Menurut sepupu mereka, Umie Solehah Mohd Sobri, 31, kejadian berlaku pada jam 9 malam ketika semua penghuni rumah itu tidur manakala ibu keluarga terbabit, Norazlina Sharif, 44, yang juga ibu saudaranya ke pasar malam berhampiran untuk membeli barangan keperluan berniaga nasi lemak.

Katanya, api merebak terlalu pantas namun mereka sempat menyelamatkan diri ketika api sedang marak.

“Ketika kejadian, dua abang mereka, Muhd Basri, 25, dan Muhd Fitri, 24, yang juga suami Nor Afiqah masing-masing keluar bekerja dan hanya mereka berenam ada di rumah.

“Mereka hanya keluar sehelai sepinggang dan tak sempat selamatkan harta benda yang musnah semuanya,” katanya hari ini.

Umie Solehah berkata, rumah pusaka itu didiami keluarga itu sejak kematian datuk dan neneknya malah ibu saudaranya adalah ibu tunggal.

Katanya, semua barangan dalam rumah itu musnah keseluruhannya termasuk tiga motosikal dan sebuah kereta hangus.

“Saya harap ada pihak yang dapat memberi sumbangan kerana dalam suasana hari raya, mereka hilang tempat berlindung sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.04 malam dan tiba di lokasi jam 9.10 malam.

Beliau berkata, tiga jentera di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim dan Kulim Hi-Tech tiba di lokasi untuk membantu memadam kebakaran itu.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II K Chandran. Kebakaran membabitkan rumah dua tingkat dan kemusnahan lebih 70 peratus.

“Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamani berkata, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya jam 10.40 malam.

Beliau berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Kredit Harian Metro

No comments:

Post a Comment