Tuesday, 23 July 2019

18 penguat kuasa, pegawai JPJ Pulau Pinang didakwa secara berperingkat mulai esok

Sebanyak 18 lagi pegawai dan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang ditahan kerana rasuah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth secara berperingkat mulai esok.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata kesemua mereka yang terdiri daripada pegawai dan penguat kuasa Gred 19 hingga 29 itu dipercayai terlibat menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.


"Perincian tuduhan saya tak boleh dedahkan sehingga pendakwaan esok. Mereka akan didakwa secara berperingkat melibatkan pegawai dan penguat kuasa...pegawai itu bukan bertaraf tinggi sangat," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada 16 April lepas, SPRM menahan 31 individu termasuk 23 anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa lebih muatan di sekitar negeri itu.

Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 dan RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Ditanya sama ada akan ada lagi tangkapan selepas ini, Latheefa berkata pihaknya tidak boleh memberikan maklumat kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

"Kami minta pihak media untuk memahami kerana kes ini yang bermirip sindiket kita tidak mahu siasatan disabotaj," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a comment