Monday, 1 July 2019

AirAsia rai ketibaan penerbangan sulung ke Melaka



(Keempat dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat; Ketua Menteri Melaka YAB Tuan Adly bin Zahari; Timbalan Menteri Industri Utama merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya YB Datuk Seri Shamsul Iskandar bin Haji Mohd Akin; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam YB Datuk Mohd Sofi bin Abdul Wahab; Exco Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna YB Tuan G. Saminathan menyambut ketibaan penerbangan sulung AirAsia dari Penang ke Melaka.


MELAKA, 1 Julai 2019 - AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia buat kali ke-11 berturut-turut telah menyambut dan menandakan ketibaan penerbangan sulung dari Pulau Pinang ke Bandaraya Melaka Bersejarah.

Penerbangan AirAsia AK6284, menggunakan pesawat Airbus A320, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 1.20 petang dan mendarat pada jam 2.25 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, di mana ia disambut dengan pancuran air semasa ketibaan.

Para tetamu yang menaiki penerbangan sulung disambut oleh Ketua Menteri Melaka YAB Tuan Adly bin Zahari; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka YB Dato’ Hasim Hasan; Timbalan Menteri Industri Utama merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya YB Datuk Seri Shamsul Iskandar bin Haji Mohd Akin; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan YB Datuk Muhamad Jailani bin Khamis; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam YB Datuk Mohd Sofi bin Abdul Wahab; Pengurus Besar Tourism Melaka Encik Zairi Suboh; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dan Ketua Komersil Serantau AirAsia Amanda Woo.

Ketua Menteri Melaka YAB Tuan Adly bin Zahari berkata, “Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan perkhidmatan AirAsia ke Melaka. Kami memuji usaha AirAsia melancarkan laluan baharu ini, yang bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2019 (VMY2019). Tahun 2018, Melaka telah menerima 17.02 juta orang pelancong, yang mana 33.41% daripada mereka terdiri daripada pelancong asing. Tahun ini, sasaran kami adalah untuk menerima 20 juta orang pelancong. Di bawah inisiatif VMY2019, kami telah memperkenalkan pelbagai pakej penginapan dan aktiviti menarik untuk memenuhi permintaan para pelancong asing dan tempatan. Kami berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai pelawat ke Melaka melalui rangkaian AirAsia.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, “Ini adalah hari yang membanggakan bagi AirAsia dan rakyat di kedua-dua bandaraya dan tapak warisan dunia UNESCO - Pulau Pinang dan Melaka. Laluan baharu ini bukan sahaja akan mengembangkan industri pelancongan tempatan, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang untuk kedua-dua bandar. Rangkaian kami yang luas membuka pilihan penerbangan baharu untuk penduduk Melaka, terutamanya bagi mereka yang ingin melancong ke Sabah dan Sarawak atau ke destinasi lain di Asean. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua rakan kongsi kami atas sokongan mereka dalam menjadikan laluan ini satu kenyataan, dan berharap dapat meneroka lebih banyak peluang untuk terus meningkatkan kehadiran kami di Melaka.”

Melaka merupakan destinasi domestik keenam AirAsia dan laluan ke-14 dari hab Pulau Pinang. AirAsia kini terbang dari Pulau Pinang ke Melaka, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching, Singapura, Jakarta, Surabaya, Medan, Hanoi, Bandar Ho Chi Minh, Bangkok dan Phuket.

AirAsia kini menawarkan diskaun 20% ke atas semua tempat duduk untuk semua penerbangan. Tempahan boleh dibuat di airasia.com dan melalui aplikasi mudah alih AirAsia mulai sekarang sehingga 7 Julai 2019, sah untuk perjalanan antara 8 Julai dan 21 November 2019. Hanya log masuk dan bayar dengan BigPay untuk menikmati tambang terendah.

#PenangMelakawithAirAsia

No comments:

Post a Comment