Thursday, 11 July 2019

Bantahan Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang di Parlimen


Kira-kira 300 nelayan berkumpul di luar Parlimen bagi menyampaikan bantahan ke atas projek tambak laut di selatan Pulau Pinang.

Bantahan yang dikelola gabungan Penang Tolak Tambak itu bermula pada pukul 8 pagi di sekitar Tugu Negara sebelum peserta berarak ke Parlimen.



Memorandum bantahan berjaya disampaikan dan beberapa wakil peserta berkesempatan berdialog bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di bangunan Parlimen.

Wakil Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. Mageswari berkata, projek tambak itu dibantah kerana ia mengganggu mata pencarian nelayan dan mengganggu ekosistem alam sekitar.

"Kami ingin menyeru Kerajaan Persekutuan supaya membatalkan projek ini yang dirancang oleh kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain SAM, bantahan itu turut disertai Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan aktivis-aktivis bebas.

Pelbagai kain rentang dikibarkan dengan bermacam slogan bantahan seperti 'Jangan Gadai Pintu Rezeki Kami', 'Nelayan Tolak Tambak' dan 'Jangan Tuang Pasir Dalam Periuk Nasi Kami'.

Peserta bersurai pada pukul 10.15 pagi. - UTUSAN ONLINE














No comments:

Post a Comment