Monday, 1 July 2019

Bantulah adik Mohamad Fattah Darwisy lawan kanser


Setiap kali apabila tiba waktu untuk Mohamad Fattah Darwisy Mohd Tajul Hakma, 3, menjalani rawatan penyakit leukemia di Hospital Pulau Pinang (HPP), ibunya pasti gusar memikirkan kos untuk mereka berulang-alik dari Perlis ke hospital berkenaan.


Setiap dua minggu dalam tempoh sebulan, Nor Hamieza Yatim, 28, yang hanya seorang suri rumah perlu membawa Mohamad Fattah Darwisy bagi menjalani kimoterapi untuk mengubati penyakit itu dari kampung mereka di Perlis ke HPP.



Nor Hamieza berkata, suaminya, Muhammad Tajul Hakma Sapri, 29, hanya bekerja sebagai seorang nelayan dan memperoleh pendapatan sekitar RM800 sebulan. 


"Kami perlu berulang-alik dari Kampung Baru Tandiap, Kuala Perlis ke HPP setiap dua minggu bagi mengikuti jadual rawatan kanser anak saya.

"Biarpun Mohamad Fattah Darwisy mendapat bantuan RM300 setiap bulan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), namun kos berulang-alik dari Perlis ke HPP agak tinggi membuatkan kami terbeban dari segi kewangan terutama ketika Ramadan serta menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui di HPP, di sini hari ini.

MOHAMAD FATTAH DARWISY MOHD. TAJUL HAKMA yang sedang menjalani rawatan
MOHAMAD FATTAH DARWISY MOHD. TAJUL HAKMA yang sedang menjalani rawatan bagi mengubati penyakit leukemia di Hospital Pulau Pinang (HPP) berada di samping ibunya, Nor Hamieza Yatim. - UTUSAN ONLINE 
Nor Hamieza yang merupakan ibu kepada dua anak berkata, anak sulungnya itu dikesan menghidap leukemia awal Januari lalu dan sejak itu mereka sekeluarga terpaksa berulang-alik dari Perlis untuk menjalani rawatan.

"Suami saya kini melakukan dua kerja untuk menampung pembiayaan rawatan anak kami, namun imasih belum mencukupi.

"Saya gusar setiap kali memikirkan bagaimana kami perlu mencari wang untuk menampung kos rawatan serta kos kami berulang-alik," katanya.

Tambahnya, Mohamad Fattah Darwisy perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya tiga tahun lagi untuk memastikan dia bebas daripada sel kanser.

"Saya berharap anak saya akan sembuh sepenuhnya daripada kanser dan membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain," katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu Mohamad Fattah Darwisy, anda boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 159021083540 (Nor Hamieza Yatim). - UTUSAN ONLINE



No comments:

Post a Comment