Monday, 8 July 2019

Dua rekod Malaysia Book Of Records Menggunakan Jari Kelengkeng..

‘HENDAK seribu daya, tidak hendak seribu dalih.’ Demikian kata-kata semangat mendorong pereka sambilan, G Omprekash, 24, membuktikan kebolehan untuk mencipta dua rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Anak bongsu daripada dua beradik itu menarik perhatian ramai melalui kesungguhannya mengangkat bebanan seberat 91 kilogram (kg) dan menarik kenderaan pacuan empat roda sejauh 86.5 meter dengan menggunakan dua jari kelengkeng hingga tercipta rekod bersejarah dalam kehidupannya.

Omprekash berkata, walaupun bukan ahli sukan, dia mahu mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan manusia biasa.

“Saya lakukan ini kerana mahu membuktikan apa yang diidamkan seseorang dalam kehidupan tidak ada yang mustahil, asalkan dia berazam untuk mendapatkannya tidak kira bila waktunya.

“Ini salah satu impian dalam hidup saya dan melalui kerja keras disamping latihan konsisten sejak awal tahun ini, ia membuahkan hasil memuaskan hati saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Hari Keluarga di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bukit Mertajam, hari ini.

Majlis penutup disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Omprekash yang juga anak kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kerangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri, Chong Eng mahu mendedikasikan kejayaannya kepada jurulatihnya, A Maniam Tanabalasinghan, keluarga dan rakan yang banyak memberi sokongan serta dorongan.

“Saya bersyukur kerana dipertemukan jurulatih yang menjadi seperti sahabat dalam memastikan kejayaan saya, selain ahli keluarga serta rakan yang tidak henti memberikan sokongan.

“Saya harap kejayaan ini menjadi galakan kepada individu lain yang ingin mencapai sesuatu dalam kehidupan mereka dan ia tidak mustahil diperoleh sekiranya mempunyai cita-cita dan matlamat,” katanya.

Selain Omprekash, dua individu lain iaitu Boo Chai Yee ,24 dan Seah Zhang Yu, 23, turut mencatat nama dalam MBOR dalam sukan lompat katak sejauh 400 meter terpantas dengan catatan masa enam minit 53 saat dan senaman ‘burpees’ dalam tempoh satu minit.

Sementara itu, Tanabalasinghan berkata, kejayaan diperoleh membolehkan dia merangka untuk mencipta rekod dunia di Guiness World of Records.

“Program di bawah kerjasama Jabatan Belia dan Sukan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini adalah salah satu platform menarik dalam mengetengahkan bakat muda menonjolkan keupayaan luar biasa dimiliki mereka.

“Ia bukan sahaja memecahkan rekod di negara ini bahkan boleh pergi sampai ke peringkat dunia sekiranya membuat persiapan dengan menjalani latihan lebih keras,” katanya.

Kredit Harian Metro

No comments:

Post a Comment