Sunday, 7 July 2019

Had umur belia nafi hak usahawan muda - Pertunas


Kerajaan digesa mengkaji semula Rang Undang-undang (RUU) untuk menurunkan had umur belia dan anggota pertubuhan belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun kerana ia bakal menafikan hak usahawan muda di negara ini terutama kalangan mereka yang baharu memulakan perniagaan.

Setiausaha Agung Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas), Nurliana Muhammad berkata, kebanyakan program-program pembangunan kapasiti kepada usahawan muda yang disediakan oleh 17 kementerian dan lebih 64 agensi kerajaan ketika ini mengguna pakai had umur antara 18 tahun hingga 40 tahun, jadi pelaksanaan RUU itu tentunya akan menyebabkan jumlah usahawan yang layak menerima kemudahan tersebut menurun sekali gus memberi kesan kepada perniagaan belia.




“Kebanyakan perniagaan baharu yang dimulakan oleh orang muda bermula pada umur sekitar 31 hingga 35 tahun, jadi Pertunas bimbang jika RUU ini dilaksanakan golongan usahawan muda akan terpinggir daripada menerima bantuan kewangan yang mampu melonjakkan perniagaan mereka.

“Kerajaan perlu memperhalusi semula mekanisme pelaksanaan RUU itu bagi memastikan ia tidak membebankan usahawan belia dan kita juga berharap kerajaan dapat membuat kajian yang menyeluruh bagi setiap polisi yang diumumkan terutama perkara yang melibatkan perundangan, keupayaan teknologi dan persekitaran ekonomi serantau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di Dewan Rakyat kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun di samping pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak lebih empat tahun atau bersamaan dua penggal.

Sementara itu, Nurliana berkata, pelbagai program telah diperkenalkan oleh kerajaan melalui pelbagai dana dan program bersesuaian kepada usahawan belia termasuk Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di bawah SME Corp. Malaysia di samping Dana Usahawan Muda (YEF) dan Tabung Usahawan Siswazah (TUS) oleh SME Bank manakala Prosper Usahawan Muda di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Katanya, bidang keusahawanan sememangnya diiktiraf sebagai antara bidang yang mampu memberikan pulangan yang lumayan dan namun ia masih lagi di peringkat permulaan di negara ini dengan penglibatan golongan belia yang menjadikannya sebagai kerjaya dilihat masih sedikit.

“Usaha dan sokongan kerajaan amatlah penting bagi menggalakkan golongan belia terutama Bumiputera untuk menceburi bidang keusahawanan dan jika RUU itu dilaksanakan secara drastik, Pertunas percaya matlamat tersebut akan terbantut,” katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment