Monday, 15 July 2019

Jadual baharu KTM Komuter bermula 16 Julai ini

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bermula 16 Julai depan perkhidmatan KTM Komuter akan beroperasi dengan jadual baharu.

KTMB dalam kenyataan di sini berkata, perubahan itu melibatkan perkhidmatan KTM Komuter di sektor Lembah Klang, Komuter Ekspres Seremban dan Skypark Link.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan KTM Komuter Utara terkecuali daripada penjadualan baharu itu.



“Perubahan adalah ekoran daripada pelaksanaan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang telah beralih ke fasa seterusnya.

“Dengan penjadualan baharu ini, perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan antara Stesen Pulau Sebang dan Stesen Batu Caves akan beroperasi secara terus dan para penumpang tidak perlu menggunakan perkhidmatan bas transit di antara Stesen Sentul dan Stesen KL Sentral serta Stesen LRT Sentul Timur.

“Perkhidmatan bas transit bagi laluan Stesen Segambut–Stesen KL Sentral, masih kekal sama dengan kekerapan setiap satu jam, bermula pukul 6.00 pagi hingga 11.00 malam,” katanya di sini hari ini.

Selain itu, KTMB memaklumkan, perkhidmatan tren bagi laluan dari Stesen Pulau Sebang ke Stesen Batu Caves ditambah sebanyak empat tren menjadikan keseluruhannya lapan perkhidmatan di sektor laluan tersebut.

“Bagi perkhidmatan Komuter Ekspres Seremban, perkhidmatan tren di sebelah petang bermula pada pukul 5.52 petang, laluan ke Stesen Seremban akan bermula dari Stesen Sentul (berbanding bermula hanya dari Stesen KL Sentral sahaja sebelum ini), dengan tambahan empat hentian di Stesen Sentul, Stesen Putra, Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perubahan jadual itu melalui laman sesawang www.ktmb.com.my atau saluran media baharu rasmi KTMB di Facebook KTM Berhad, Instagram ktmbofficial, Twitter @ktm_berhad atau melalui Pusat Panggilan KTMB di 03-22661200. -UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment