Friday, 19 July 2019

Mangsa tembak menang saman RM 114 470


Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini memerintahkan syarikat GMP Kaiser (M) Sdn Bhd membayar ganti rugi RM114,470 kepada jurukamera sambilan RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memerintahkan syarikat itu selaku defendan kedua membayar ganti rugi am RM70,000 dan kos bernilai RM30,000 selepas membenarkan tuntutan saman dikemukakan Mohamad Amirul Amin, 31, selaku plaintif.

Dalam penghakimannya, Hadhariah berkata, kesalahan harus ditanggung defendan kedua sebagai pihak yang perlu memastikan senjata api dibekalkan kepada pekerjanya iaitu pengawal peribadi, Jaafar Haalid yang juga defendan pertama dalam kes itu diguna dengan betul dan bertanggungjawab.


“Dalam kes ini senjata api itu dibekalkan defendan kedua dan syarikat ini yang upah defendan pertama. Ini satu risiko boleh dijangka.

“Saya menolak pembelaan pihak defendan kedua menyatakan tidak tahu kerana defendan pertama baru dua hari bekerja. Defendan kedua tidak boleh bercakap tidak tahu dan perlu bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati alasan diberikan defendan kedua yang menyalahkan Mohamed Amirul Amin kerana pergi menolong dalam kejadian terbabit adalah tidak munasabah.

“Ia tidak munasabah. Sekiranya plaintif nampak defendan pertama memegang pistol, sudah tentu dia tidak pergi ke tempat itu.

“Dalam kes ini defendan kedua bertanggungjawab terhadap tindakan defendan pertama selain defendan kedua didapati menghantar pistol digunakan defendan pertama ke syarikat logam sekerap, tanpa mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Mohamad Amirul Amin memfailkan saman itu pada 1 Jun 2018 dengan mendakwa dia ditembak defendan pertama ketika dia mendekati individu yang disangka mangsa kemalangan jalan raya berikutan badannya berlumuran darah serta duduk di jalan raya.

Dalam tuntutannya, dia berkata, defendan pertama menggunakan senjata api pistol jenis “Glock” dan menembak majikannya hingga mati selain turut melepaskan tembakan hingga mengakibatkan dua individu lagi terkorban manakala empat lagi parah.

Mohamad Amirul Amin menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan, ganti rugi teruk dan lain-lain relief dan/atau perintah dianggap wajar oleh mahkamah.

Beliau diwakili peguam Simon Murali manakala GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd diwakili peguam Mohamad Nor Azam Rashid dan Samry Masri.

Jaafar kini dalam tahanan di Penjara Pulau Pinang kerana menghadapi sembilan pertuduhan jenayah yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment