Friday, 5 July 2019

Membalas ulasan Wan Ji mengenai Rasulullah dan transgender



Merujuk kepada ulasan Wan Ji yang menyembunyikan pendirian sebenar Rasulullah SAW dalam isu trangender.

Menyantuni dengan pendekatan berbeza

Rasulullah SAW menggunakan dua pendekatan berbeza dalam menghadapi golongan transgender ini. Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa; “seorang mukhannath masuk menemui isteri-isteri Rasulullah SAW dan mereka menganggapnya sebagai Ghairu Ulil Irbah (orang yang tidak punya nafsu kepada wanita). Suatu ketika Rasulullah SAW masuk menemui isteri-isteri Baginda dan mukhannath itu ada bersama mereka.

Mukhannath itu sedang menceritakan mengenai sifat wanita (Taif) dengan berkata; ‘Wanita (Taif, anak-anak perempuan Ghaylan) itu jika menghadap ke depan maka ia menghadap dengan empat (lipatan), dan jika menghadap ke belakang maka ia menghadap dengan lapan (lipatan)’.


Mendengar perbualan itu Rasulullah SAW bersabda; ‘ketahuilah, aku melihat orang ini mengetahui apa yang ada pada wanita, maka jangan benarkan dia masuk bersama kalian.’ Mereka pun (isteri-isteri Nabi) akhirnya memakai hijab.” (HR Muslim dan Ahmad)

Menurut riwayat Abu Daud, mukhannath ini datang kepada isteri Rasulullah SAW untuk meminta makanan dan permintaan mereka itu dipenuhi. Malah mereka dilayan secara baik kerana ada hak untuk ditunaikan dalam membantu sesama manusia.

Ini diriwayatkan oleh al-Auza’i yang menyebutkan: “Wahai Rasululah SAW, sekiranya engkau usir dia sesungguhnya dia akan mati kelaparan. Maka Rasulullah SAW membenarkan mukhannath ini datang setiap jumaat dua kali, dia hanya datang meminta (makanan) dan kemudian pulang.” (HR Riwayat Abu Daud)

Kisah ini menunjukkan pendekatan pertama yang digunakan Rasulullah SAW terhadap golongan ini adalah dengan penuh hikmah dan rasional. Makanan adalah hak asas dalam kehidupan. Golongan mukhannath berhak mendapatkan hak itu justeru Rasulullah SAW memberi kebenaran untuk mereka datang pada hari yang ditetapkan.

Bagaimanapun di dalam hadis yang sama juga, Rasulullah SAW mengusir mukhannath. Cara ini boleh difahami sebagai bentuk kekerasan namun ada sebab dan alasan yang munasabah atas tindakan yang diambil. Menurut al-Imam al-Syawkani, Rasulullah SAW mengambil tindakan yang keras untuk mengusir mukhannath daripada rumah isteri baginda kerana TIGA sebab utama.

PERTAMA, sangkaan bahawa mukhannath tidak mempunyai nafsu terhadap wanita adalah salah. Ini boleh dilihat melalui perbualan mereka yang menceritakan mengenai anak Ghaylan (wanita Taif) seperti dinyatakan dalam hadis di atas.

KEDUA, penceritaan mukhannath yang mengandungi sifat dan deskripsi mengenai wanita mendedahkan perkara yang tidak wajar kepada golongan berlawanan jantina.

Walaupun mukhannath berperwatakan wanita, tetapi mereka adalah lelaki yang masih perlu menjaga batasan pergaulan. Oleh itu, Rasulullah SAW mengusir mereka daripada rumah isteri-isteri baginda.

Mukhannath ada nafsu

KETIGA, mukhannath mempunyai ruang yang terbuka untuk melihat tubuh dan aurat wanita sekiranya mereka diberi peluang atau kebenaran untuk duduk bersama-sama wanita. Bagi mengelakkan perkara yang meragui, tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW adalah dengan mengusir mereka.

Ini menunjukkan bahawa mukhannath juga mempunyai nafsu dan syahwat yang sama seperti lelaki biarpun mereka menyerupai wanita dalam pelbagai cara. Arahan dan tindakan untuk mengusir mukhannath bukan atas dasar kebencian, tetapi untuk memelihara kehormatan wanita terutama isteri-isteri baginda yang berhadapan dengan golongan mukhannath.

Hadis itu tidak wajar digunakan sebagai alasan untuk mukhannath bergaul bebas dengan kaum wanita, kerana masih ada batas yang perlu dijaga di antara mukhannath dan wanita. Walaupun tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW untuk mengusir mereka dianggap keras, baginda dalam masa yang sama melarang untuk berlaku kejam terhadap mereka ataupun membunuh ke atas golongan ini.

Penulisan ini merupakan sebahagian penulisan yang dipetik dari: http://wafiq.my/2018/12/22/pendekatan-rasulullah-saw-kepada-golongan-transgender/ yang dikongsikan oleh Prof Rafidah Hanim di laman Facebookb beliau.

Ditulis oleh Dr Saadah Khair yang merupakan Exco Kajian Islam dan Hadis WAFIQ

Kredit : Gerakan pengundi sedar

No comments:

Post a Comment