Wednesday, 3 July 2019

#ParitBuntar 2 kanak-kanak lemas



PARIT BUNTAR: “Tak sangka itu anak saya.”

Demikian luahan pilu, Mohd Zaki Abdullah, 45, bapa kepada dua kanak-kanak perempuan yang lemas di Kampung Parit Bagan Tiang, Tanjung Piandang di sini, petang tadi.

Beliau berkata, sebaik selesai menjalani rawatan perubatan Islam di Parit Buntar, kira-kira jam 7.30 malam, beliau mendapat tahu mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak terapung di dalam parit berhampiran rumahnya.




“Ketika berada di kawasan kejadian saya melihat ramai orang kampung berkumpul dan tertanya-tanya anak siapa yang lemas namun tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk.

“Sebaik pulang ke rumah, saya dapati Kak Chik (Nor Anisa Najwa, 10) dan Ayuni (Nor Ayuni Najatul, 8) yang juga anak keempat dan kelima tiada di rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Parit Buntar di sini, malam tadi.

Mohd Zaki berkata, beliau mulai mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa kedua-dua anaknya itu dan segera ke lokasi untuk mendapatkan kepastian.



Beliau berkata, sebaik melihat dan mendapati dua mayat kanak-kanak itu adalah anaknya, beliau terduduk dan hampir pitam.


Seorang dari dua kanak-kanak perempuan ditemui lemas di dalam parit di Kampung Kuala Bagan Tiang, Tanjung Piandang. - Foto ihsan Pembaca
Katanya, berdasarkan penemuan dua pasang selipar ditinggalkan berhampiran parit di lokasi kejadian, penduduk bekerjasama membuat pencarian di dalam parit berhampiran dan menemui Nor Ayuni Najatul kira-kira jam 7.30 malam sebelum berjaya menemui seorang lagi anaknya, Nor Anisa Najwa, 15 minit kemudian.

Mohd Zaki yang sedih dan enggan gambarnya dirakam ternyata masih tergamam dan kaku dengan kejadian yang meragut nyawa dua anaknya sekali gus dan enggan mengulas lanjut kejadian itu.

Katanya, jenazah dua anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Bagan Tiang, pagi ini.




Sementara itu, penduduk kampung yang enggan dikenali berkata dia melihat kelibat dua beradik itu selepas tamat sesi persekolahan sekolah rendah agama rakyat di sini petang tadi.

Katanya, tingkah laku mereka menaiki basikal dan melambai-lambai tanpa henti kepada penduduk kampung yang berada di gerai berhampiran lokasi mereka ditemui lemas, rupa-rupanya petanda mereka akan pergi buat selama-selamanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Sanusi Salleh yang turut hadir di lokasi, mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya

 Berita Harian

No comments:

Post a Comment