Tuesday, 30 July 2019

PBA seru pihak berkuasa membuat pemeriksaan sepanjang Sungai Muda

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) hari ini menyeru pihak berkuasa membuat pemeriksaan di sepanjang Sungai Muda di Kedah susulan penemuan tapak pelupusan sampah haram, hujung minggu lalu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif PBA, Jaseni Maidinsa turut meminta tindakan segera bagi mengelakkan kejadian di Sungai Selangor yang menyaksikan tumpahan diesel awal bulan ini, berulang.

“Adalah sesuatu yang mengejutkan apabila membaca mengenai pelupusan sisa elektronik dan kimia di hulu dari muka sauk air mentah utama Pulau Pinang di Lahar Tiang.

“Pastikan semua pemilik tanah mengekalkan rizab sungai 30m di sepanjang Sungai Muda untuk meminimumkan risiko kejadian tidak diingini, seperti tumpahan kimia dan pencemaran yang tidak disengajakan.

“Meletakkan anggota penguat kuasa undang-undang untuk rondaan kawasan sungai dan tebing sungai 24/7 untuk mengesan dan menghalang aktiviti haram yang mengancam sungai,” katanya.

Tapak pelupusan sampah di Sungai Muda berukuran kira-kira 5 padang bola sepak mencetuskan kebimbangan terhadap kebersihan air yang digunakan untuk minuman dan mengairi sawah padi.

Bagaimanapun, Jaseni memberi jaminan air paip bersih dan selamat digunakan, berdasarkan 3,182 sampel air terawat yang diambil tahun lepas, dan berkata PBA juga akan mengambil sampel baru untuk ujian.

Menurutnya, Pulau Pinang mengabstrak lebih 80% air mentahnya dari Sungai Muda, manakala Syarikat Air Darul Aman Kedah mengabstrak 100% bekalan air di Kedah selatan.


Beliau berkata insiden Sungai Selangor harus dianggagp “isyarat” kepada pihak berkuasa di Kedah dan Pulau Pinang untuk mengambil tindakan yang perlu, segera dan konklusif.


“Kita mesti mengelakkan perkara buruk seperti kejadian Sungai Selangor yang menjejaskan berjuta-juta pengguna air awal bulan ini,” katanya sambil menambah wujud peruntukan undang-undang di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan majlis tempatan untuk menghalang aktiviti haram itu.

FMT

No comments:

Post a comment