Monday, 29 July 2019

Pelancong India kantoi mencuri di Bali



MENGINAP di hotel yang selesa dan cantik, apatah lagi mewah, tentunya akan memberi nilai tambah pada sesebuah pengalaman percutian.

Nilai harga yang dibayar untuk penginapan itu lazimnya disertai pelbagai kemudahan untuk digunakan, namun tidak semua jadi milik anda sepenuhnya!

Sebuah keluarga dari India menjadi tular khususnya dalam kalangan pengguna media sosial Indonesia sewaktu mereka bercuti di Bali. Mereka ditahan kerana didapati mencuri barangan dari hotel yang mereka inap.

Pada awalnya, ketika perbuatan mereka terbongkar sewaktu hendak meninggalkan hotel, keluarga itu cuba menafikan malah mengherdik pihak pengurusan hotel dan pegawai keselamatan yang mahu memeriksa bagasi mereka.


Namun, selepas pihak pengurusan berkeras, bagasi-bagasi mereka telah dikeluarkan semula dan beberapa barangan dalam bilik hotel seperti cermin muka, penyangkut baju, alat pengering rambut, bekas pasu rotan, pembesar suara, tuala dan botol besar barangan penjagaan tubuh ditemui.

Menyedari mereka tiada pilihan lain, kerana melakukan kesalahan mencuri dan mahu dibawa ke pihak polis, salah seorang daripada keluarga itu menyatakan bahawa mereka akan membayar harga barangan yang diambil tersebut.

"Saya akan bayar, saya akan bayar lebih,'' kata salah seorang anggota keluarga itu tetapi pihak hotel enggan mengambil wang yang diberi.

"Ini bukan lawak. Kamu sudah membuat kesalahan. Saya tahu kamu banyak duit tetapi ini menunjukkan anda tidak punya rasa hormat,'' kata lelaki dari hotel itu.

Namun, 'janji untuk membayar' itu tidak diterima pihak pengurusan hotel, yang bertegas untuk membawa mereka ke pengadilan pihak berkuasa.

Media tempatan yang memetik kenyataan Pegawai Perhubungan Awam Balai Polis Gianyar, Iptu I Ketut Suarnatha, melaporkan, kes tersebut sudah diselesaikan berdasarkan budi bicara pihak hotel.

Video tular itu telah mendapat perhatian ratusan ribu pengguna media sosial, yang rata-ratanya mengecam perbuatan keluarga berkenaan.

Ramai juga yang saling mengigatkan para pelibur supaya jangan mencontohi tabuat buruk keluarga ini.

Cukuplah sekadar 'bersyukur' dengan sabun atau botol syampu kecil untuk dibawa pulang... Jangan lebih daripada itu!

No comments:

Post a comment