Wednesday, 17 July 2019

Pemilik kedai runcit dan penjual durian mengaku tidak bersalah pukul remaja bawah umur


Seorang pemilik kedai runcit dan seorang penjual durian yang masih di bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini hari ini atas kesalahan mencederakan seorang remaja berumur 13 tahun minggu lalu.

Tertuduh, Toh Tat Foo, 36, dan penjual durian yang berumur 17 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah ketika pertuduhan di dalam bahasa Mandarin dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Mengikut pertuduhan, Tat Foo dan remaja berumur 17 tahun itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang remaja yang masih di bawah umur di kedai runcit beralamat 26 G.V.A Genting di sini, kira-kira pukul 4.15 pagi, pada 10 Julai lalu.





Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau didenda maksimum RM2,000 atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.

Nur Azzuin kemudian membenarkan Tat Foo dijamin dengan RM1,800, manakala rakannya dikenakan jaminan RM1,000 serta menetapkan 22 Ogos depan bagi sebutan semula.

Terdahulu, seorang remaja berusia 13 tahun yang mendakwa menjadi mangsa pukul kedua-dua tertuduh itu dihadapkan ke mahkamah yang sama hari ini atas tuduhan menceroboh kedai runcit di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Remaja itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaaan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin.

Pertuduhan ke atas remaja itu dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 91 Akta Kanak-Kanak 2001.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superitendan Pang Meng Tuck, manakala Tat Foo dan rakannya diwakili peguam Lau Jun Yi.

Remaja di bawah umur itu pula diwakili peguam, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi.

Dalam kejadian pada 10 Julai lalu, seorang remaja lelaki cedera di bahagian belakang badan akibat dilibas dengan getah paip dan rotan selepas dipercayai menceroboh sebuah kedai runcit di Simpang Empat.

Dalam kejadian pukul 4.15 pagi, remaja berusia 13 tahun itu dipercayai dipukul oleh dua lelaki termasuk pemilik kedai berkenaan yang berada di luar kedai runcit itu. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment