Monday, 1 July 2019

Peniaga mati tertembak diri sendiri..


SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut akibat tertembak diri sendiri ketika sedang mencuci senapang patah miliknya di Kampung Perlis, Tikam Batu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, mangsa yang juga seorang peniaga berusia 59 tahun dipercayai tertembak diri sendiri di bawah dagu sebelah kiri dengan senapang jenis Benelli di beranda rumahnya.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah, berkata ketika kejadian hanya mangsa dan isterinya berada di rumah terbabit.





“Isteri mangsa mengatakan ternampak suaminya membawa keluar senapang bersama peralatan mencuci senjata itu di bahagian beranda rumah.

“Beberapa minit kemudian, dia mendengar bunyi tembakan dan meluru keluar rumah untuk melihat apa berlaku sebelum menemui mangsa dalam keadaan tersembam di lantai.

“Dia mendapati suaminya tidak bermaya dalam keadaan memeluk senapang di celah kelangkang dan laras senjata ke arah dagu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa dipercayai mencuci senjata dalam keadaan duduk di kerusi sebelum tertembak di bawah dagu sebelah kiri berdasarkan kedudukan mayat dan kecederaan yang dialami.

Katanya, pihak forensik juga menemui tiga kelongsong peluru iaitu dua di luar senapang manakala satu kelongsong di dalam ‘chamber’.

Adzli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.35 petang oleh pegawai perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang tiba di lokasi kejadian.

“Mayat akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Kredit Berita Harian

No comments:

Post a Comment