Saturday, 6 July 2019

Persatuan pengguna & Sahabat Alam Sekitar kecewa JAS luluskan projek tambak laut

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) kecewa dengan kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek tambakan laut selatan Pulau Pinang (PSR) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, dan Presiden SAM, Meenakshi Raman, berkata mereka bimbang jika ulasan awam yang dikemukakan ketika pembentangan laporan EIA April lalu itu, tidak dinilai dan dipertimbangkan dengan wajar.

“Kami ada mengemukakan beberapa kebimbangan, antaranya berkaitan kepadatan penduduk selepas pembinaan tiga pulau buatan yang tidak relevan, dan tujuan sebenar pelaksanaan projek PSR.



“Kerajaan negeri perlu menyatakan dengan jelas tujuan projek ini, namun ia tidak menyatakan laporan EIA secara terperinci dan hanya dimaklumkan PSR adalah untuk menyelesaikan bekalan tanah serta isu berkaitan untuk manfaat rakyat.

“Jika isu bekalan tanah adalah masalah utama, kerajaan negeri boleh membangunkan tanah sedia ada seperti di Batu Kawan dan kawasan yang masih kosong di Seberang Perai,” katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan JAS memberi kelulusan dengan bersyarat bagi projek PSR.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kelulusan dengan 72 syarat itu dimaklumkan menerusi surat yang dihantar JAS menerusi faksimili, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Mohideen dan Meenakshi turut bimbang terhadap ancaman kekurangan sumber perikanan dan kehilangan kawasan pendaratan penyu spesies Olive Ridley atau penyu Lipas.

Katanya, projek PSR akan mengganggu habitat semula jadi penyu di Gertak Sanggul, yang kini diancam kepupusan.

“Dalam laporan EIA, mereka mengakui kesan negatif terhadap habitat penyu namun ia hanya diklasifikasikan sebagai ‘trade-off’,” katanya.

Laporan EIA bagi projek PSR dihantar kepada JAS pada pertengahan Jun lalu, selepas ia dibentangkan kepada awam selama sebulan bermula April lalu.

No comments:

Post a Comment