Monday, 29 July 2019

Sendikit curi kereta mewah geng Ah Heng tumpas





Sindiket yang dikenali sebagai Geng Ah Heng dan diketuai seorang dalang berusia 40-an itu bagaimanapun tumpas selepas polis menahan enam lelaki berusia antara 20-an hingga 60-an di Alor Setar dan Changloon, Kedah pada 18 Julai lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah, operasi itu digerakkan susulan laporan yang dibuat seorang wanita selepas kenderaan Toyota Hilux miliknya dicuri di kawasan perindustrian bebas Perai, di sini April lalu.




Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menggerakkan Op Lejang Industri yang dianggotai seorang pegawai dan lapan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri bagi menyiasat tujuh kes kehilangan kenderaan dengan modus operandi serupa di negeri ini.

Tambahnya, menerusi operasi itu, pihaknya berjaya menemukan semula masing-masing sebuah kereta jenis Toyota Hilux; Honda CRV; Honda City Hibrid dan dua Honda Civic yang dicuri sindiket berkenaan demgan nilai dianggarkan RM530,000.

Jelasnya, sindiket berkenaan yang mula aktif awal tahun ini mensasarkan kenderaan tanpa kunci (push button) yang diletakkan di kawasan perindustrian dan dicuri pada waktu siang atau ketika hari bekerja.

“Kegiatan itu dilakukan dua daripada anggota sindiket berkenaan menggunakan pelbagai peralatan khas seperti ‘jammer’ dan ‘smart key’.

“Mereka hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk membuka dan mematikan sistem keselamatan kereta sebelum melarikan kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zainol, antara supek yang ditahan itu bekerja sebagai tukang cat kenderaan dan orang tengah yang menjual kenderaan curi tersebut dengan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah.

Jelasnya, dalam operasi itu juga, pihaknya merampas sebuah kereta Toyota Estima milik salah seorang mangsa; pelbagai nombor plat kenderaan dan cukai jalan palsu; kad Touch & Go dan Smart Tag serta masing-masing sebuah komputer riba dan telefon bimbit.

Ujar beliau, pihaknya percaya kenderaan curi itu diseludup keluar dari negara ini menggunakan nombor plat dan cukai jalan palsu ke Thailand menerusi pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Siasatan awal juga mendapati kenderaan mewah itu mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan dijual pada harga sekitar RM20,000 sebuah,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun selain boleh didenda.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan majikan dan pekerja di kawasan perindustrian di negeri ini lebih berhati-hati dalam meletakkan kenderaan mereka ketika waktu bekerja bagi mengelak menjadi sasaran sindiket sama yang dikhuatiri masih aktif. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a comment