Thursday, 4 July 2019

#SungaiKandis Murid sekolah maut selepas terjatuh terpijak lantai bas berlubang.


PASIR PUTEH - Seorang murid Tahun Enam, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, meninggal dunia selepas lantai bas yang dinaikinya 'jerlus' dalam kejadian di Kampung Kandis, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 12.50 tengahari itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang tersebut dalam perjalanan mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Bukit Keluang, Besut Terengganu.



Akibat kejadian tersebut, mangsa difahamkan terjatuh di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah seluruh badan.

Penyelaras bengkel, Anis Sofea Uzaimi berkata, bas yang membawa murid SK Tok Bok itu dalam perjalanan menyertai bengkel yang diadakan selama dua hari di Bukit Keluang.

Katanya, dia tidak berada di tempat kejadian dan belum mendapat gambaran jelas mengenai kejadian tersebut selain dimaklumkan lantai bas jerlus.

"Mangsa dikatakan berdiri bersama rakan-rakan yang lain di bahagian hadapan bas berhampiran tangga.

"Difahamkan ada kawasan yang berlubang namun telah ditutup tetapi saya tak pasti ia ditutup dengan apa," katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment