Saturday, 6 July 2019

#SungaiNibong TKM Pulau Pinang diselar perdaya, tipu dan khianat penduduk




Kerajaan DAP Pulau Pinang disifatkan telah memihak kepada pemaju dengan memperdaya, menipu dan menceroboh hak para penduduk khususnya ahli kariah Masjid Sungai Nibong Besar (MSNB), di sini.

Sehubungan itu, para penduduk telah menzahirkan bantahan terhadap rancangan untuk mengambil sebahagian tanah wakaf masjid dan kubur dengan mengadakan himpunan di tapak masjid tersebut, semalam.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati terutama kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato' Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang dianggap telah mengkhianati maruah agama dan bangsa.


Bidas mereka, ahli politik itu telah berjanji tidak mengambil walau seinci tanah wakaf masjid dan kubur termasuk ruang udaranya bagi pembangunan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT).




Namun, beliau menyatakan bahawa pagar kubur tersebut sebenarnya berada 6 kaki di luar kawasan sebenar tanah wakaf, yakni dalam tanah simpanan jalan, seterusnya meminta susun atur baru dilaksanakan.

Hal tersebut bermakna sekitar 600 kubur berada dalam rizab jalan dimaksudkan Zakiyuddin, sekali gus ahli kariah berpandangan pihak kerajaan negeri memberi isyarat akan mengambil tanah tersebut.

Bagi mereka, tindakan itu sebagai mencabul maruah dan menghina agama kerana kubur orang Islam akan dibongkar untuk dipindahkan ke tempat yang belum diketahui dan tapak masjid dianjakkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan MSNB, Sophian Mohd Zain berkata, masalah tersebut tidak akan berbangkit sekiranya jajaran laluan asal projek LRT tersebut kekal seperti perjanjian.

Malah menurutnya, sehingga masjid diserahkan untuk perobohan bagi pembinaan semula sebelum Ramadan, jajaran dimaklumi kepada ahli kariah dan penduduk adalah melalui belakang masjid tersebut.

Namun kesali beliau, setelah kerja perobohan selesai dan tapak diratakan, secara tiba-tiba pemaju mengeluarkan laluan jajaran lain yang melintasi hadapan masjid dan kerja pembinaan juga turut dihentikan.

Hal tersebut ujarnya, menimbulkan syak wujud agenda yang telah direncana lebih awal menyebabkan ahli kariah merasa diperdaya dan tertipu, serta melihat kerajaan negeri lebih mengutamakan pemaju.

Memetik pandangan beberapa Imam Mazhab dan Fatwa Pulau Pinang yang pernah dikeluarkan, Sophian menegaskan bahawa sebarang binaan termasuk kubur adalah menjadi 'harta' tidak boleh diusik.

Peserta himpunan turut merasa marah apabila pemaju yang lebih bermotif keuntungan telah dimenangkan kerajaan negeri hingga tergamak membongkar kubur semata-mata kerana projek itu.

Walhal, mereka telah bersatu padu membuat kutipan mengumpul wang sebanyak RM4.6 juta bagi membiayai pembinaan semula masjid tersebut yang bahan binaan juga telah berada di tapak asal.

Mereka juga melontarkan peringatan bahawa kerajaan negeri khususnya Zakiyuddin juga akan 'dikuburkan' suatu hari nanti, selain merasa kesal kerana Ahli Parlimen dan Adun tidak sama membela isu itu. - HD

No comments:

Post a Comment