Tuesday, 2 July 2019

Tukang masak,cuci,sapu & gunting antara yang diangkut Imigresen Pulau Pinang

Tukang masak, Tukang Cuci, Tukang Sapu dan Tukang Gunting antara yang ditangkap dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang.

Dalam operasi yang dijalankan itu, sebuah kedai makanan dan minuman yang terletak di Lintang Angsana, Bandar Baru Ayer Itam disyaki menggajikan 12 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).



Mereka terdiri daripada 6 wanita Myanmar yang bekerja sebagai tukang masak, 4 lelaki Myanmar yang bekerja sebagai tukang cuci dan 2 wanita Indonesia yang bekerja sebagai tukang ambil pesanan telah ditangkap kerana disyaki melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen apabila gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di Malaysia.

Dalam serbuan yang dijalankan di premis terbabit, seorang anggota penguatkuasa imigresen mengalami kecederaan apabila dirempuh oleh seorang PATI yang cuba melarikan diri namun tindakan PATI lelaki warga Myanmar itu tidak berjaya apabila beliau berjaya ditangkap.



Seorang wanita warga tempatan yang disyaki pemilik perniagaan terbabit telah ditangkap untuk siasatan dan tindakan lanjut jabatan.

Sementara itu di lokasi yang lain, seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dan 2 lelaki terdiri daripada warga Pakistan dan Bangladesh yang bekerja sebagai tukang masak turut berjaya ditangkap.

Ketiga-tiga mereka didapati tidak memiliki dokumen dan Pas yang sah semasa pemeriksaan dijalankan.

Kedai gunting rambut yang terletak di Taman Jerejak Indah manakala sebuah kedai makanan dan minuman yang terletak di Lebuh Muntri serta sebuah restoran nasi beryani di Jalan Transfer antara yang terlibat dalam serbuan berkenaan.



Operasi yang dianggotai 12 anggota dan pegawai penguatkuasa itu bermula jam 9.30 pagi dan berakhir 2 jam berikutnya.

Kesemua PATI yang ditangkap telah ditahan di Depot Imigresen Juru untuk siasatan dan tindakan lanjut. Gerakan bagi mengesan majikan yang terlibat juga sedang giat dijalankan untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.


No comments:

Post a Comment