Wednesday, 28 August 2019

Jaja petai untuk masuk universiti, USM tolak penangguhan pendaftaran.. 😢


GUA MUSANG 28 Ogos - Seorang anak penoreh getah di Kampung Limau Kasturi 1 di sini gigih mencari wang untuk menyambung pengajian di universiti dengan membantu ibunya menjaja petai dan sayuran kampung.

Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, bercadang menangguhkan pengajiannya selepas tidak mampu mengumpul wang pendaftaran untuk belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang bulan depan.

Dia sanggup membuat keputusan itu kerana mahu membantu ibu bapanya menambah pendapatan dan perbelanjaan keluarga kerana 10 lagi adik-beradiknya masih bersekolah.

Anak ketiga daripada 12 beradik itu merupakan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra berkata, dia tidak mampu mengumpul wang pendaftaran sebanyak RM1,400 dan telah memohon menangguhkan pengajian.

Bagaimanapun, katanya, pihak USM Pulau Pinang menghubunginya dua hari lalu dengan mengatakan permohonan untuk penangguhan pendaftaran itu telah ditolak.

“Ketika ini saya terpaksa membantu ibu menjaja petai, buah-buahan lain dan sayur untuk menampung kos pengajian.

“Saya tidak mahu menyusahkan ibu dan bapa kerana mereka juga terpaksa menanggung kos rawatan seorang lagi adik lelaki yang menghidap penyakit usus sehingga kerap keluar najis dan muntah berdarah,” katanya.

Muhammad Izzat Amran berkata, dia memerlukan perbelanjaan untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Bangunan sementara menunggu bantuan pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, bapanya Ibrahim Ismail, 56, hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM700 sebulan, manakala ibunya, Zubaidah Yusoff, 46, menjaja petai sekitar RM500 sebulan.

“Jika USM memberi penangguhan bolehlah saya bekerja sambilan dahulu untuk mengumpul wang tanpa membebankan ibu bapa.

“Dua lagi adik-beradik berada di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, empat di sekolah menengah dan empat lagi di sekolah rendah juga memerlukan perbelanjaan,” katanya.

Sementara itu, Zubaidah berkata, walaupun keluarga mereka hidup dalam kesempitan tetapi mereka begitu mementingkan pendidikan.

Orang ramai yang ingin membantu Muhammad Izzat Amran boleh menghubunginya di talian 013-7656855 atau memberi sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0302041000159967.

Sumber : UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment