Sunday, 25 August 2019

Kajian projek terowong dasar laut sangat perlahan, Najib persoal kerajaan Pulau Pinang

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow membabitkan isu kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan terowong dasar laut yang menurutnya kini di peringkat 90% siap.

Najib berkata, kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan terowong dasar laut itu memakan tempoh masa yang sangat lama, memandangkan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd pernah berjanji pada 2014, bahawa kajian berkenaan akan disiapkan pada April 2014.

“Dahulu janji kajian itu akan siap pada bulan April. Tetapi bukan bulan April tahun ini tetapi pada April 2014.


“Semasa Lim menjadi ketua menteri Pulau Pinang, dia juga pernah katakan, tahap kesiapan kajian itu sudah 83% dan berjanji kajian akan siap pada Jun, bukan tahun ini, tetapi Jun 2016,” katanya di Facebooknya, hari ini.



Sebelum ini, Chow berkata, kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan terowong dasar laut kini di peringkat 90% penelitian.

Menurutnya, draf laporan itu masih diperiksa jurutera perunding bebas yang dilantik, HSS Engineers Bhd.

Jelas Najib, perkembangan kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan terowong dasar laut itu sangat perlahan, memandangkan kajian projek itu hanya berkembang sebanyak 7% dalam tempoh masa 3 tahun.

“Begitu lama hendak naik 7%. Kajian itu 1 juta muka surat tebal ke? Lebih parah lagi, akhirnya DAP katakan terowong itu bukanlah keutamaan lagi.

“Tetapi persoalannya, jika terowong bukan keutamaan pada masa sekarang, kenapa perlu anugerahkan projek seawal 6 tahun dahulu,” katanya.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos anggaran RM46 bilion, merangkumi pembinaan terowong dasar laut bagi menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

FMT

No comments:

Post a Comment