Friday, 23 August 2019

Kerajaan Pulau Pinang membeli 15 kereta baru Toyota Camry 2.5V berjumlah RM2.77 juta

Kerajaan Pulau Pinang membeli 15 kereta baru Toyota Camry 2.5V berjumlah RM2.77 juta untuk Exconya bagi menggantikan kereta rasmi model sama yang dibeli pada 2013.

Pegawai kewangan negeri, Sarul Bahiyah Abu berkata kereta Camry yang dipasang di Jepun tahun ini, setiap satu berharga RM184,912.50 selepas diskaun RM4,990.

Katanya, pembelian kereta itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 13 Mac lalu.

“Kereta itu digantikan kerana kos penyelenggaraan kereta baru lebih rendah dan ia dilengkapi ciri keselamatan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.






“Kereta rasmi sedia ada digunakan selama 6 tahun dan tidak lagi dalam tempoh jaminan. Ia juga kerap dibaiki membabitkan kos penyelenggaraan tinggi, iaitu purata RM11,030 setahun bagi setiap kereta sejak dibeli pada 2013 hingga 2018.”

Sarul berkata, 10 Camry lama itu akan dijual menerusi tender tidak lama lagi, manakala 5 lagi kereta terbabit akan terus digunakan kerajaan negeri.

Camry lama yang dipasang di dalam negara dibeli pada harga RM1.7 juta, termasuk potongan cukai.

Ia menggantikan 6 Mercedes-Benz Kelas-E dan 9 Proton Perdana V6 Executive yang berusia 12 hingga 21 tahun.


Kereta rasmi negeri digunakan speaker Dewan Undangan Negeri, timbalan speaker, setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan, penasihat undang-undang dan 10 Exco.

Sahul berkata, Mercedes-Benz Kelas-S keluaran 2012 yang digunakan ketua menteri juga akan digantikan disebabkan peningkatan kos penyelenggaraan.

“Kos penyelenggaraan bagi kereta rasmi ketua menteri meningkat sebanyak RM36,199 setiap tahun sejak 2013 hingga 2018.”

Katanya, kerajaan negeri masih menunggu maklum balas pembekal untuk menentukan model kereta yang sesuai.

Mercedes-Benz yang digunakan ketua menteri dilaporkan dibeli pada akhir Disember 2013 pada harga RM298,263.75 susulan potongan cukai dan diskaun berjumlah RM360,000.

Kereta itu dipasang di Pekan, Pahang bagi menggantikan kereta rasmi Camry 2.5V.

No comments:

Post a Comment