Thursday, 22 August 2019

Lelaki langgar pemandu hingga maut berdepan hukuman mati

Seorang lelaki berusia awal 40-an didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan membunuh pemandu Syed Muhammad Danial Syed Shakir selepas terbabit dalam satu pergelutan di Lebuhraya Utara Selatan lebih seminggu lalu.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya Siti Noor Hafizan Zakaria di hadapan Majistret Nor Afidah Idris terhadap Yew Wei Liang mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Yew selepas pertuduhan dibacakan.


Ini berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-t berwarna hitam tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 9.05 pagi diiringi beberapa anggota polis.

Tertuduh kemudian diarahkan dibawa ke Penjara Sungai Buloh selepas pertuduhan selesai.

Yew dilihat tunduk dengan keadaan tenang di kandang tertuduh sepanjang prosiding.


Di luar kamar mahkamah, kelihatan beberapa ahli keluarga, termasuk isteri tertuduh menunggu selesai pertuduhan dibacakan.

Dalam kejadian pada 10 Ogos itu, Syed Muhammad Danial, 29, dilaporkan maut akibat dilanggar kenderaan yang sebelum itu terlibat dalam kemalangan kecil dengan keretanya, berhampiran Plaza Tol Sungai Besi.

Kedua-dua kenderaan berhenti dekat persimpangan Bandar Baru Bangi, selepas kejadian kejar-mengejar sebelum itu.

Sebelum kejadian, kedua-dua pemandu dikatakan terlibat dalam pergaduhan dan dileraikan pengguna lebuh raya lain, sebelum mangsa yang keluar semula daripada keretanya dilanggar dan tersepit antara kenderaan dan penghadang jalan.

No comments:

Post a Comment