Tuesday, 20 August 2019

Mangsa letupan gas di Paya Terubong meninggal dunia

Keadaan rumah mangsa yang rosak teruk akibat berlaku letupan pada Ahad lalu.

GEORGETOWN - Mangsa kejadian letupan gas yang berlaku di sebuah rumah di Pangsapuri Desa Green di Paya Terubong dalam kejadian Ahad lalu meninggal dunia awal pagi tadi.

Perkara itu disahkan anak mendiang, Lee Chye Soon, 38 yang memaklumkan ayahnya, Lee Kok Eang, 62 meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira jam 2.30 pagi.

Menurutnya, walaupun sedih dengan kehilangan bapa tersayang, namun mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku kerana sebelum ini doktor yang merawat memberitahu peluang bapanya untuk hidup sangat tipis.

"Selepas dikejarkan ke hospital Ahad lalu, doktor memaklumkan bapa hanya mempunyai peluang satu peratus sahaja untuk hidup berikutan kecederaan dialaminya sangat teruk.

"Keadaannya sangat lemah dan mungkin kerana faktor usia membuatkan bapa tidak mampu untuk melawan kesakitan yang ditanggung," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang warga emas cedera selepas berlaku letupan di rumahnya di Tingkat 20, Desa Green, Jalan Paya Terubong pada Ahad lalu.

Dalam kejadian pada jam 8.10 pagi itu, lelaki berusia 62 tahun itu mengalami kecederaan 80 peratus pada anggota badannya.

Dipercayai kejadian berlaku akibat kebocoran gas memasak yang mana ketika itu, mangsa dikatakan sedang menyalakan api untuk menghisap rokok.

Difahamkan, percikan daripada pemetik api itu menyebabkan ia menyambar gas yang bocor hingga berlakunya letupan kuat.

Chye Soon berkata, sementara waktu dia bersama keluarganya terpaksa menumpang di rumah ibu mentuanya yang tinggal berhampiran kerana rumah didiami sejak 15 tahun lalu itu masih belum dibaiki.

Dia yang bekerja sebagai penjual kereta berharap ada mana-mana pihak yang tampil untuk membantu memperbaiki rumahnya yang rosak teruk akibat kejadian itu.

"Saya berharap ada yang sudi menghulurkan bantuan bagi mempercepatkan pembinaan semula rumah untuk kami duduk selepas ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang ketika dihubungi Sinar Harian berkata. punca kematian mangsa disebabkan kecederaan akibat kebakaran.

Katanya, mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga untuk proses pengebumian.

Kredit Sinar Harian

No comments:

Post a Comment