Monday, 19 August 2019

#PadangTerap Botol baki minyak petrol sabotaj masjid ditemui



PENEMUAN botol mengandungi baki minyak petrol di luar kawasan Masjid Padang Setol, Pedu, Padang Terap antara bahan bukti yang dipercayai dapat membantu siasatan kes kebakaran mimbar dan permaidani masjid itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, pihaknya percaya berkemungkinan besar ia ada kaitan dengan kes kebakaran yang berlaku.

Beliau berkata, setakat ini Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah sedang menjalankan siasatan di masjid berkenaan.


“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku tengah malam atau awal pagi ketika masjid itu kosong.





“Ia hanya disedari jemaah masjid ketika hendak menunaikan solat Subuh dan ternampak kesan terbakar pada bahagian mimbar serta permaidani,” katanya ketika ditemui di Masjid Padang Setol.

Noh berkata, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan pihaknya sedang mengesan individu yang terbabit dalam kegiatan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas pusat ibadat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob turut melawat lokasi kejadian hari ini namun enggan mengulas dan menunggu hasil siasatan lengkap.

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

#HarianMetro

Video & pic #MohdFarhanAbdullah

No comments:

Post a Comment