Saturday, 31 August 2019

Panggilan ugutan bom palsu, 3 ditahan..



Beberapa pesawat komersial dan kargo beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas. - Foto Danial Saad / Berita Harian


BALIK PULAU: Dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Indonesia ditahan selepas membuat panggilan telefon ugutan bom palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, kelmarin.

Semua suspek berusia antara 22 hingga 38 tahun itu ditahan susulan kejadian ugutan bom diterima di LTAPP dekat sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari, 3 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata wanita dikenali sebagai Siska, 38, ditahan di terminal ketibaan, sejurus penerbangannya dari Medan, Indonesia mendarat di LTAPP.


Katanya, rakan suspek dikenali sebagai Bob, 38, ditahan ketika mahu menjemput suspek, manakala seorang lagi dikenali sebagai Mail, 22, ditahan di Jitra, Kedah dengan ujian saringan air kencing kedua-duanya didapati positif dadah.

“Semakan awal ke atas nombor telefon digunakan untuk ugutan bom didaftarkan atas nama Siska, tetapi digunakan Bob.

“Berlaku salah faham antara Bob dan Siska ketika dalam perjalanan untuk menghantar wanita terbabit ke LTAPP.

“Ketika perjalanan ke LTAPP, Bob yang berasal dari Jitra, Kedah turut ditemani Mail. Bagaimanapun, Bob meminta pertolongan Mail membuat panggilan ugutan bom bagi menghalang Siska pulang ke Indonesia.

“Mail turut mengaku melakukan ugutan bom melalui panggilan telefon selepas diminta Bob, selain berpunca daripada unsur peribadi dan tiada elemen jenayah lain dengan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan panggilan palsu atau salah guna mana-mana platform media sosial untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Kredit Berita Harian

No comments:

Post a Comment