Tuesday, 20 August 2019

#PuncakAlam Polis Rampas Dadah Bernilai RM700 Juta!



Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kartel dadah tempatan dengan merampas dua jenis dadah iaitu ketamin dan kokain yang nilainya hampir RM700 juta semalam. Menerusi laporan Harian Metro, rampasan tersebut dianggap sebagai rampasan terbesar dalam sejarah negara ini.


Serbuan di Puncak Alam

Menurut sumber, rampasan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu membabitkan ketamin seberat hampir 500 kilogram (kg) dan kokain seberat lebih tiga tan. Tambahnya, kejayaan itu susulan serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, KDRM dan cawangan polis berkaitan di sebuah kilang di Puncak Alam, Selangor, petang semalam.

Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan empat lelaki tempatan dan sembilan warga asing yang disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah. Pemeriksaan susulan menemui 11 guni dipercayai berisi serbuk ketamin. Suspek yang disoal siasat kemudian membawa anggota polis ke sebuah rumah di Seksyen U5 Shah Alam, Selangor.

Sindiket menjadikan negara sebagai transit

Ketika serbuan, pihak polis giat melakukan pemeriksaan rapi terhadap lokasi tersebut sebelum berjaya menemui lebih 3,200 ketulan dadah mampat disyaki kokain seberat lebih tiga tan.

Polis masih menyiasat kemungkinan sindiket menjadikan negara ini sebagai transit berikutan penggunaan dadah kokain di Malaysia tidak popular berbanding syabu dan ketamin. Kokain berasal dari Amerika Selatan mendapat permintaan tinggi dari sindiket di negara jiran dan harganya menjangkau ratusan ribu ringgit sekilogram.

Kesemua suspek ditahan reman bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Menurut rekod, rampasan dadah ini dianggap antara kejayaan terbesar PDRM yang sebelum ini pernah merampas dadah syabu seberat 2.06 tan bernilai RM103. 2 juta di Ulu Tiram, Johor pada Mac lalu.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment