Thursday, 26 September 2019

Bapa Adib harap keputusan inkues memihak keluarga


Keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban selepas rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, tahun lalu berharap keputusan inkues bagi menentukan punca kematian anaknya pada esok akan berpihak kepada mereka.

Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berharap anaknya bukan meninggal dunia akibat kecederaan parah kerana dilanggar jentera bomba.

“Saya harap keputusan inkues esok memihak kepada kami bahawa arwah meninggal kerana dipukul, biarlah penantian kami yang lama ini memberi kegembiraan.

“Kami berharap keputusan itu biarlah adil dan kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya kepada FMT hari ini.


Kassim berkata, beliau sekeluarga tidak akan ke mahkamah untuk mendengar keputusan inkues itu kerana mereka akan perlu mengadakan solat hajat di kampungnya di Kuala Kedah malam ini dan majlis tahlil pagi esok.

Inkues bagi menentukan punca kematian Adib bermula 11 Feb lalu, suuslan pelbagai dakwaan bercanggah mengenai punca kematian anggota bomba itu.

Koroner, Rofiah Mohamad mengakhiri prosiding inkues selama 41 hari pada 24 Julai lalu, selepas mendapati keterangan 30 saksi mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Sebelum ini, saksi ke-24 yang juga pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi mendakwa Adib keluar sendiri daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum terlanggar pintu kenderaan itu lalu terhentak di permukaan kasar, luas dan menonjol.

Saksi ke-29 yang merupakan perunding kanan patologi forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid pula dilaporkan berkata, Adib ditarik keluar dari van EMRS beberapa individu dan dihentak pintu kenderaan itu sehingga cedera parah di dada kanannya.

Adib, 24, anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah ketika rusuhan berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November 2018.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, tiga minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

Free Malaysia Today

No comments:

Post a Comment