Monday, 23 September 2019

#BayanLepas lelaki tetak penyelia kilang

PULAU PINANG 23 Sept. - Seorang lelaki yang cuba menyerang polis menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau ditembak mati dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, suspek yang juga pekerja di kilang tersebut bagaimanapun terlebih dahulu menetak sehingga mati seorang penyelia wanita berusia 47 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, suspek juga menetak pengarah keselamatan kilang tersebut iaitu seorang lelaki berusia 53 tahun sehingga cedera.

Tambah beliau, polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian amuk itu cuba menenangkan suspek, namun lelaki itu bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis yang terpaksa melepaskan tembakan untuk menpertahankan diri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan murung sejak beberapa bulan lalu dan hari ini datang bekerja selepas kira-kira seminggu tidak hadir.

"Kita difahamkan suspek sudah menyerahkan surat peletakan jawatan yang berkuat kuasa hujung bulan ini dan kita sedang mengenal pasti motif kejadian ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, mangsa wanita yang merupakan penyelia kualiti di kilang itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital manakala mangsa lelaki yang cedera dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ujarnya, suspek yang masih lagi merupakan pekerja di kilang itu datang bekerja seperti biasa hari ini tanpa sebarang rasa curiga oleh mana-mana kakitangan kilang berkenaan sebelum kejadian itu berlaku.

"Bagaimanapun, kita masih menyiasat bagaimana suspek membawa masuk dua bilah parang dan sebilah pisau ke dalam kilang tersebut," katanya. - UTUSAN ONLINE














No comments:

Post a Comment