Friday, 13 September 2019

Dah 16 bulan PH menang tapi mana RCI Memali, soal Najib

Najib Razak tertanya apakah yang ditunggu Pakatan Harapan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat peristiwa Memali 1985, susulan kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mengenai keseriusan tragedi itu hari ini.

Khalid berkata kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bahawa peristiwa pahit yang dialami PAS dan Umno, termasuk tragedi Memali, menjadi kecil berbanding agensi besar penyatuan ummah meringankan peristiwa yang melibatkan kehilangan nyawa itu.

Pemimpin Amanah itu juga berkata partinya melihat ada banyak isu dalam kes Memali yang perlukan penjelasan.

Bekas perdana menteri hari ini berkata Khalid berjanji RCI menyiasat tragedi itu akan dibuat jika PH menang pilihan raya umum ke-14.





“Sudah 16 bulan selepas PH menang, kau tunggu apa lagi?” katanya di Facebook.

Najib juga menyarankan Khalid bertanya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai peristiwa itu.

“Kan kamu jumpa dia setiap minggu semasa mesyuarat Kabinet?” katanya.

Semalam, Takiyuddin berkata PAS yakin keluarga mangsa peristiwa Memali yang berlaku lebih 30 tahun lalu itu sudah memaafkan Umno ketika kedua-dua parti bersiap sedia untuk memeterai piagam kerjasama esok.

Umno merupakan parti pemerintah ketika pertempuran berlaku antara orang kampung dan polis di Baling, Kedah pada 1985. Perdana menteri ketika itu adalah Dr Mahathir Mohamad, sekarang pengerusi PH.

Penerimaan keluarga mangsa peristiwa Memali menjadi perhatian selepas Umno mengingatkan Mahathir belum memohon maaf atas peristiwa berdarah itu, selepas perdana menteri berkata PAS perlu menarik balik Amanat Hadi 1981 sebelum memuktamadkan kerjasama dengan Umno.

FMT

No comments:

Post a Comment