Tuesday, 3 September 2019

Hacker Indonesia Godam 300 Laman Web



Keselamatan negara semakin terancam apabila dengan mudahnya pihak luar menceroboh ratusan laman web pelbagai agensi secara besar-besaran sejak Jumaat lalu.

Ini terbukti apabila kira-kira 285 laman web agensi kerajaan, perlesenan serta swasta di nega­ra ini di­serang peng­godam yang men­dakwa mereka dari Indonesia.

Difahamkan, serangan siber itu dilakukan penggodam sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 yang dipercayai memberi ancaman ke atas sistem DDoS, Web Defacement dan Malware laman web yang terlibat.

Penggodam disyaki dari Indonesia tinggalkan ‘nota’ berbunyi ‘Hacked by UnM@SK, ditunggu permohonan maafnya, Jangan Sampai Kita Baku Hantam #Indonesian Hacker rulez’.

Ini dipercayai ada kaitan de­ngan kemarahan republik itu terhadap kenyataan yang dianggap menghina mengenai gojek oleh seorang ketua persatuan teksi, baru-baru ini dan telah pun membuat permohonan maaf.

Tinjauan Utusan Ma­laysia mendapati laman-laman web yang dirosakkan adalah terdiri daripada 19 agensi kerajaan, 265 swasta dan satu badan perlesenan.

Antaranya ialah http://jknj.jknj.moh.gov.my/esplp/, http://www.kehakiman.gov.my/pojsys6/employees, https://jts.sarawak.gov.my/ares/ima­ges, http://eparlimen.moa.gov.my/tmp/ dan http://etender.pkns.gov.my/userfiles/file/Mah.txt.

Lebih membimbangkan, sehingga pukul 4 petang ini, ke­semua laman web itu masih gagal dilayari dan belum dipulihkan.

Malah, pada Jumaat lalu, laman web rasmi negeri Sabah turut memuat naik amaran selepas Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) memaklumkan mengenai se­ra­ngan pada pukul 8 malam oleh penggodam Indonesia yang menyasarkan organisasi di negara ini.

Katanya, serangan tersebut mampu memberi kesan kepada gangguan perkhidmatan, kehila­ngan dan kebocoran maklumat sulit selain menjejaskan sistem pengoperasian, pelayan web dan perkhidmatan dalam talian.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima makluman mengenai sera­ngan tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Jelas beliau, bagaimanapun, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada agensi-agensi terlibat.

“Sekiranya laporan dibuat, siasatan akan dilakukan bagi menangani masalah yang timbul,” ujarnya.

Utusan

No comments:

Post a Comment