Sunday, 8 September 2019

Hampir 5,000 sertai himpunan #PenangTolakTambak

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Pulau Pinang sekali lagi akan membawa isu Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekiranya tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri.

Pengerusi Mohd Akhir Che Mat berkata di peringkat awal pihaknya akan mengatur pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu berbangkit berhubung projek berkenaan yang didakwa menjejaskan lebih 5,000 nelayan.

“Ummah Pulau Pinang tidak menolak pembangunan dan kita tidak menolak PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang). Cuma kita minta PTMP dikaji semula. Semoga ada ruang perbincangan kita dengan Exco Dr Afif Bahardin, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.



“Insya-Allah kalau tidak mendapat layanan yang mesra, kita akan bawa sekali lagi ke Parlimen berjumpa dengan menteri, berjumpa dengan perdana menteri, timbalan perdana menteri dan sesiapa jua. Kalau boleh kita akan bawa petisyen yang kita tanda tangan hari ini kepada perdana menteri sekali lagi bagi mendepani isu ini dengan lebih baik,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri himpunan Penang Tolak Tambak di padang Permatang Damar Laut hari ini.

Hampir 5,000 peserta menyertai perhimpunan aman itu yang terdiri daripada orang awam, nelayan, 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin-pemimpin parti politik.

Akhir berkata pihaknya sedia mengadakan perhimpunan lebih besar pada masa depan termasuk menganjurkannya di Parlimen jika projek itu tetap diteruskan.

“Perjuangan ini sejak 2014 diterajui oleh NGO seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM), Penang Forum dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang). Kita juga akan bersama dengan persatuan nelayan,” katanya.


Beliau berkata petisyen “Selamatkan Pulau Pinang: Penang Tolak Tambak” itu dijangka akan diserahkan kepada perdana menteri dalam tempoh 2 bulan akan datang.

Kerajaan negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina 3 pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut untuk membiayai projek PTMP.

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.


kredit ; FMT

No comments:

Post a Comment