Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran berkata, polis kini masih mengenal pasti motif sebenar suspek iaitu lelaki berusia 25 tahun bertindak menetak dua rakan sekerjanya dalam kejadian tersebut.

Kata beliau, pihaknya ketika ini masih menjalankan siasatan terperinci termasuk mengumpulkan maklumat daripada keterangan keluarga, teman serumah dan rakan sekerja lelaki berkenaan.
"Ada pelbagai andaian serta spekulasi mengenai kejadian itu, jadi saya minta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak benar atau sahih yang tidak mendapat pengesahan daripada polis kerana akan menganggu siasatan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Antarabangsa kelima di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang semalam, polis menembak mati seorang lelaki yang terbabit dalam kejadian amuk menggunakan dua bilah parang yang membunuh rakan sekerjanya serta mencederakannya seorang yang lain di dalam kilang tersebut.
Sementara itu, Narenasagaran berkata, siasatan awal mendapati suspek masuk ke kawasan kilang dan meluru ke arah penyelia wanita berusia 47 tahun sebelum menetak mangsa secara bertalu-talu di bahagian kepala serta tangan.
Katanya, seorang lagi mangsa iaitu pengurus keselamatan lelaki berusia 53 tahun yang cuba membantu bagaimanapun turut ditetak di tangan dan kini masih dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas. - UTUSAN ONLINE