Saturday, 14 September 2019

#HPU914 Tuan Guru Haji Hadi tolak dakwaan kerjasama PAS-Umno perkauman, jamin bela semua kaum


PAS menolak tuduhan kononnya kerjasama politik parti itu dengan Umno menjadikan pakatan yang terbentuk bersifat rasis dan menolak kaum lain.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, jika Umno dan PAS mengamalkan sikap perkauman, maka kaum lain tidak akan berupaya hidup bersama di negara ini.

“Tanamkan sifat sayangkan bangsa sendiri dan selamatkan semua bangsa bersama Islam. Ini bukannya perkauman kerana kalaulah kita ini bersifat perkauman, sudah lama bangsa lain tidak boleh hidup bersama kita.


“PAS dan Umno tetap menerima kehadiran bersama kaum lain dalam landskap politik negara kita dengan acuan Islam yang menerima masyarakat majmuk yang dipimpin oleh orang Melayu Islam,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional dengan Umno di PWTC di sini, hari ini.



Katanya, bukti PAS tidak mengamalkan sikap rasis ialah kenyataan bahawa parti itu mempunyai keahlian daripada kalangan bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS, selain komponen parti politik yang membentuk Gagasan Sejahtera.

“Umno juga terus menjalin hubungan dengan parti berasaskan kaum lain seperti MCA dan MIC. Ini adalah titik persamaan di antara 2 parti Melayu Islam yang boleh menerima siapa sahaja bersama-sama konsep ini. Kita juga sama-sama menentang siapa sahaja yang mahu merosakkan negara yang tidak mahu mengikut acuan itu.

“Kepada rakyat pelbagai kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak, marilah kita memelihara perpaduan yang sedia terjalin dan menolak sebarang pendekatan ekstrem yang boleh memecahkan kesatuan ini.

Selain itu katanya, PAS dan Umno beriltizam untuk meningkatkan taraf hidup pribumi Sabah dan Sarawak serta menyeru semua pihak untuk memperkukuhkan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963, selain memperbaiki segala kelemahan sepanjang pelaksanaannya.

“Ini bagi menguatkan Persekutuan dan merapatkan jurang perbezaan yang wujud selama ini,” katanya sambil meminta semua kaum supaya menyuburkan sistem demokrasi.

Hadi berkata, ia juga adalah langkah bagi menghalang campur tangan asing dalam perubahan negara yang berlaku di Malaysia.

Dalam ucapan sama, Hadi menyeru rakan komponen bukan Melayu dan Islam dalam Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera (GS) menjernihkan salah faham komuniti itu mengenai penyatuan ummah antara Umno dan PAS.

Hadi berkata, komuniti bukan Melayu dan Islam dalam BN dan GS perlu memainkan peranan supaya tujuan penyatuan ummah itu tidak dirosakkan oleh pihak yang mahu menggagalkan usaha tersebut.

“Insha Allah kehadiran sahabat kita daripada kalangan bukan Melayu dan bukan Islam dapat menjernihkan keadaan,” kata Hadi.

Hadi juga berkata, selain komuniti bukan Melayu dan bukan Islam yang salah faham, terdapat juga orang Melayu yang sengaja tidak mahu memahaminya.

“Kaum lain bukan Melayu dan bukan Islam sepatutnya jangan khuatir dengan adanya jaminan dan hak-hak dalam al-Quran yang wajib diimani penganut Islam dan ditegaskan dalam perlembagaan (negara),” katanya.

Beliau juga mengingatkan tentang segelintir pemimpin politik dan individu yang sengaja menyentuh dan memainkan isu sensitif.

“Apa yang dibimbangi ialah keberanian melulu parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar Islam, hak Melayu dan Bumipuetra dan Raja-raja. Ini boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan hubungan yang baik yang sedia ada.

Dalam pada itu katanya, terdapat juga orang Islam yang kehilangan jati diri Islam dan Melayu yang melakukan perkara sama.


Hadi seterusnya meminta rakyat menolak golongan berkenaan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Rakyat pelbagai kaum hendaklah menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Katanya, teori “Malaysian Malaysia” yang bertujuan menghapuskan hak orang Melayu dan Bumiputera dan kedudukan agama Islam, adalah ajaran salah yang melanggar teras negara ini yang wajib ditolak.

“Teori ‘Malaysian Malaysia’ dengan alasan menzalimi kaum lain adalah ajaran salah. Alasan slogan ‘Malaysian Malaysia’ tentang diskrimasi terhadap kaum lain adalah tidak benar,” katanya.

Hadir sama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; timbalan presiden , Mohamad Hassan; Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; dan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Tuut hadir ialah rakan komponan BN dan GS.

sumber

No comments:

Post a Comment