Friday, 6 September 2019

Isteri Mejar Zahir, anak mulakan hidup baharu di Ipoh ISTERI


IPOH 6 Sept. - Isteri Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 31, akan membawa anak-anaknya untuk memulakan hidup baharu di Ipoh.

Menurutnya, sememangnya menjadi hasrat Allahyarham suaminya yang mahu mereka sekeluarga menetap di Perak.

Katanya, cadangan itu sudah lama dia dan Allahyarham suaminya bincangkan cuma ketika itu belum ada ketetapan sama ada mahu terus tinggal di Kuala Lumpur atau Perak.

"Sehari sebelum arwah ke Sabah, dia memberitahu mahu kami sekeluarga berpindah ke Perak.

"Arwah minta kalau boleh cari rumah di sekitar Ipoh supaya mudah jika ada apa-apa berlaku, saya dekat dengan keluarga dan ibu bapa," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta hari ini.

Menurut Nour Sharinar, mengikut perancangan, dia dan tiga anaknya iaitu Muhammad Irfan Daniel, 10, Nur Adriana, 6, dan Izzul Zakly berusia enam bulan akan berpindah ke Ipoh pada bulan November.

Katanya, kemudian arwah bercadang untuk memohon bertukar tempat kerja di sini.

Jelasnya, pada Selasa iaitu sehari sebelum kejadian yang meragut nyawa suaminya itu, dia sudahpun berjaya mendapatkan rumah sewa di Ipoh.

"Sekarang saya perlu urus perkara berkaitan arwah dan daftar sekolah anak-anak. Apabila semua urusan selesai, kami akan berpindah dan mulakan hidup baru di sini seperti yang diminta arwah," katanya.

Nour Shafinar yang juga bekas anggota tentera dan telah menamatkan tempoh perkhidmatan di 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja pada Jun lalu berhasrat untuk meneruskan minat Allahyarham dalam perniagaan.

Dia mendedahkan bahawa Allahyarham suaminya mahir dalam mereka bentuk baju yang digunakan anggota tentera dalam program dan misi-misi khas menerusi label Zeck's Empire yang diusahakan bersama sejak dua tahun lalu.

"Saya juga akan meneruskan perniagaan dalam bidang perancang majis perkahwinan," katanya. -

Kredit : UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment