Wednesday, 11 September 2019

Jerebu: Pulau Pinang cecah paras tidak sihat pagi ini..


GEORGE TOWN: Keadaan berjerebu di Pulau Pinang mencecah paras tidak sihat sejak pagi tadi.

Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Balik Pulau mencatat bacaan tidak sihat iaitu 110 sejak awal pagi hingga jam 11 pagi ini.

Bagaimanapun, IPU sederhana direkodkan di Minden USM, dengan bacaan 95 pada jam 11 pagi , manakala di Seberang Jaya dan Seberang Perai masing- masing mencatat bacaan 79.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Menakala Jabatan Meteorologi Malaysia pula mencatatkan bacaan jarak ketampakan pada jam 11 pagi di Butterworth dan Bayan Lepas adalah 5 kilometer.

Sementara itu tinjauan juga mendapati pemandangan Jambatan Pulau Pinang dan Bangunan Komtar kelihatan kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda di Pulau Pinang sejak pagi.

Orang ramai boleh melayari http://apims. doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Jabatan Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat keadaan berjerebu yang sedang melanda negeri itu kini.

Antara langkah pencegahan yang disyorkan adalah memastikan udara di dalam rumah atau bangunan sentiasa bersih dengan menghindarkan pencemaran asap rokok; menutup tingkap bagi mengelakkan asap jerebu memasuki rumah atau bangunan, mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, serta minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. - Astro Awani

No comments:

Post a Comment