Thursday, 5 September 2019

Kaunter pasport Imigresen Seberang Jaya ditutup sementara


SEBERANG JAYA - Kaunter pasport di Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP) di sini akan ditutup sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan bermula Isnin depan.

Pengarahnya, Muhamad Husni Mahmud berkata, bahagian berkenaan akan ditutup sehingga 31 Oktober ini dan orang ramai yang ingin membuat atau memperbaharui pasport boleh berbuat demikian di cawangan Imigresen Georgetown atau pejabat berhampiran.

Menurutnya, penutupan itu terpaksa dilakukan berikutan faktor keselamatan di samping bimbang ia akan mengganggu perjalanan sistem.

“Penutupan ini bukan disengajakan kerana bahagian pasport di sini akan melalui proses pengubahsuaian termasuk pendawaian semula elektrik.

“Kita bimbang apabila ia diteruskan akan memberi kesan sampingan seperti gangguan sistem yang akan merencatkan operasi untuk mengeluarkan pasport,” katanya pada sidang media di sini pagi tadi.

Muhammad Husni berkata, kerja-kerja penyelenggaraan tidak akan mengambil masa lama dan sekiranya ia siap sebelum daripada tarikh yang dijangkakan ia akan beroperasi semula lebih awal.

Katanya, dalam dalam tempoh berkenaan pihaknya mengambil inisiatif dengan memindahkan pegawai pasport Seberang Jaya ke Georgetown bagi melancarkan urusan.

“Dalam tempoh penutupan ini cawangan di Georgetown akan beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang manakala Sabtu dan Ahad pula pada jam 8 pagi hingga 1 petang," katanya.


Muhammad Husni berkata, pihaknya mengambil pendekatan itu kerana tidak mahu timbul aduan daripada orang awam pada kemudian hari.

Tambahnya, JIMPP di Seberang Jaya menerima permohonan kira-kira 200 pasport sehari manakala di Georgetown pula sekitar 180 pasport sehari.

Sumber Sinar Harian

No comments:

Post a Comment