Monday, 16 September 2019

#PenangTolakTambak PSR ancam seluruh kawasan laut di wilayah Utara

Projek tambak laut di perairan selatan negeri ini (PSR) bakal memberi impak yang sangat luas dan besar kepada ekosistem laut bukan hanya di negeri ini malah di seluruh negeri di wilayah utara.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Univesiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Yusoff Ishak berkata, kesan itu adalah sesuatu yang boleh dijangkakan mengambil kira perbandingan impak projek tambak laut berskala besar seperti di Hong Kong dan Singapura.

Menurut beliau, antara kesan yang boleh dilihat adalah perubahan arus laut yang memberi impak kepada pergerakan kapal-kapal dan hakisan pantai di kawasan yang terletak di luar radius atau sangat jauh dari kawasan tambakan.



Beliau mengambil contoh projek tambakan di Pulau Ubin, Singapura yang mana menyebabkan perubahan arus menjadi semakin kuat sehingga kapal-kapal di Tanjung Pengelih terpaksa mencari laluan lain.

Begitu juga, katanya, kejadian hakisan pantai yang dilaporkan berlaku di Pulau Telor, Yan, Kedah yang didakwa oleh nelayan disebabkan aktiviti pengorekan pasir bagi tujuan tambakan laut di negeri ini.

"Ini menunjukkan kesan tambak laut dan pengorekan pasir adalah sangat luas, bukannya semata-mata di sekitar kawasan yang dirancang untuk ditambak sahaja.

"Dalam rancangan PSR misalnya, kesan perubahan arus laut juga akan dialami sehingga ke perairan Seberang Perai yang mana ketika ini kawasan itu merupakan laluan yang sibuk kepada pelbagai jenis kapal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Penambakan Laut: Ancaman Sebuah Bom Jangka anjuran Penang Forum di Recsam, Gelugor, di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 250 peserta dari pelbagai latar belakang.

Selain Mohd. Yusoff, turut menjadi ahli panel dalam forum selama kira-kira tiga jam itu ialah Penyelidik Kanan Third World Network, Evelyn Teh; Ahli Jawatankuasa Penang Forum, Khoo Salma dan Presiden Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad.

Sementara itu, menurut Mohd. Yusoff, aktiviti pengorekan pasir untuk projek tambak laut juga sering menyebabkan berlaku pencemaran laut termasuk penurunan kualiti dan peningkatan tahap kekeruhan air akibat kacauganggu pada substrat di dasar laut.

Katanya, pencemaran laut itu akan mengurangkan ketelusan cahaya matahari bagi tumbesaran organisma mikro yang menjadi makanan ikan.

"Ini berpotensi menyebabkan kepupusan organisma kecil yang menjadi makanan kepada ikan, udang dan ketam dan seterusnya merosakan rantaian makanan eksosistem laut.

"Ini akan mewujudkan kesan rantaian yang luas dan panjang antaranya kawasan yang sebelum ini menjadi lubuk kepada hidupan laut akan menjadi mati dan nelayan akan kehilangan mata pencarian," katanya.

Sementara itu, Evelyn berkata, kajian impak projek PSR secara jelas tidak melibatkan risiko atau kesan secara menyeluruh sama ada kepada ekosistem laut atau nelayan apabila hanya meliputi lima kilometer kawasan sensitif dari tapak projek.

Sedangkan, katanya, keluasan projek itu sendiri sangat besar iaitu bersamaan tujuh kali ganda saiz Georgetown selain kerja-kerja pembinaan yang panjang iaitu sehingga 15 tahun.




"Bayangkan betapa besarnya kesan buruk terhadap alam sekitar yang disebabkan daripada pengorekan pasir dari laut dan pengambilan serta pemindahan batu-batu dari kuari untuk membentuk tiga buah pulau buatan yang saiznya sangat besar itu," katanya.

Dalam masa sama, beliau membangkitkan kebimbangan mengenai pengorekan kawasan pesisir pantai sepanjang 17 kilometer iaitu kerja-kerja awal yang akan dilakukan oleh pemaju sebaik sahaja projek itu diluluskan.

"Bagaimana sekiranya ketika projek ini berjalan, pemaju tiba-tiba tidak mampu meneruskannya sedangkan 17 kilometer kawasan pesisir pantai yang sebelum ini merupakan tempat nelayan mencari rezeki sudah dikorek?" katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment