Sunday, 29 September 2019

#PenyatuanUmmah Pesuruhjaya PAS Perlis rebah ketika sampaikan ceramah

Pesuruhjaya Pas Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perlis di Dewan 2020, sebentar tadi.

Ketika majlis itu berlangsung pada jam 10 malam, Mohd Shukri sedang membacakan alu-aluan barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas serta negeri sebelum secara tiba-tiba dia kelihatan sebak dan rebah.


Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pemuda UMNO Perlis, Harmizan Hassan dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Perlis, Mohd Ridzuan Hashim bergegas kepada Mohd Shukri bagi memberi bantuan kecemasan sebelum barisan kepimpinan kedua parti mengelilingi beliau yang terbaring di atas pentas.


Bagaimanapun, Mohd Shukri masih tidak memberi sebarang tindak balas meskipun diberikan bantuan pernafasan oleh Unit Medik, Jabatan Amal Malaysia sebelum ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawanya ke HTF lima minit kemudian.

Meskipun demikian, majlis yang dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam ini tetap diteruskan.

Wakil media masih menanti perkembangan terkini daripada kepimpinan Pas negeri mengenai status kesihatan Mohd Shukri yang kini sedang dirawat di Unit Kecemasan, HTF.

Wakil media juga dilarang mengambil serta merakamkan kejadian berkenaan oleh pihak penganjur

Berita Harian

No comments:

Post a Comment